Cuai, hilang fokus punca kedudukan Sang Badak merudum, Kim Swee atur strategi asah jentera serangan


  • Podium
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Kim Swee mahu jentera serangan Sabah FC mendapatkan semula sentuhan mereka di hadapan pintu gol lawan. — Facebook/Sabah FC

DUA kekalahan berturut-turut yang dialami Sabah FC memberi tamparan hebat buat pasukan berkenaan selepas permulaan cemerlang dalam Liga Super musim ini.

Keputusan yang tidak begitu memberangsangkan ketika aksi berdepan Johor Darul Takzim (JDT) diikuti dengan persembahan 'memalukan' ketika aksi berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC, Rabu lalu.

Bagi ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, ketumpulan jentera serangan merupakan antara perkara perlu diperbaiki jika mahu kembali mendapatkan rentak dalam liga.

"Kita tidak menyudahkan peluang yang terhidang. Jika tidak menjaringkan gol, kami tidak akan pulang dengan sebarang mata," katanya.

Skuad Sang Badak ketika ini memiliki dua penyerang berkualiti, iaitu Darren Lok dan Jacob Njoku, namun mereka masih gagal menunjukkan kemampuan terbaik setiap kali diturunkan.

Kekalahan yang dialami di Stadium Cheras, KL itu juga menyaksikan skuad Sang Badak jatuh ke tangga kelima Liga Super dengan 13 mata direkodkan daripada tujuh perlawanan.

Tambah Kim Swee, pertembungan berkenaan membuktikan bahawa pasukan tuan rumah beraksi dengan cukup baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

"Kami cuai dan mudah hilang fokus selepas dibolosi. Ia memang tidak boleh diterima dan penyudah kami juga tumpul.

"Ketiadaan (Park) Tae-su juga memberi kesan, tetapi kami masih mengawal permainan dengan cukup baik. (Telmo) Castanheira juga sedang pulih daripada kecederaan," katanya.

Selepas ini, Sabah FC bakal bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan untuk berdepan skuad Jang pada Ahad dengan ia dijangka bukanlah satu tugas mudah buat kedua-dua pasukan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram