KEGAGALAN Sabah FC untuk membawa pulang tiga mata penuh di tempat lawan tidak kesampaian sehingga memaksa mereka untuk terus berputih mata untuk dua aksi Liga Super berturut-turut.
Kunjungan pertama skuad Sang Badak menentang pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor ternyata tidak memberi cabaran sukar buat skuad Harimau Selatan yang mudah mematahkan benteng pertahanan Sabah FC.
Kekalahan pertama mereka buat musim 2023 tersebut menunjukkan corak permainan Sang Badak yang agak kucar kacir dan memberikan peluang kepada pasukan Harimau Selatan membolosi gawang Sabah FC dengan jaringan gol 4-0.
Namun begitu, kekalahan tersebut nampaknya berlanjutan hingga ke Stadium Cheras, Kuala Lumpur (KL) apabila pasukan skuad Warga Kota berjaya menewaskan pasukan Borneo itu Rabu lalu.
Selepas ini, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee bakal bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan dalam misi memungut tiga mata penuh, sekali gus meletakkan mereka kembali dalam kelompok empat pasukan teratas.
Namun begitu, rata-rata penyokong memberikan pendapat pihak pengurusan dan kejurulatihan perlu mengambil tiga langkah drastik sebelum pertembungan pada Isnin depan.
1) Baiki moral pemain
Kekalahan Sabah FC berpunca daripada kejatuhan moral apabila tewas di tangan pasukan JDT dan sudah pasti sukar untuk bangkit daripada kekalahan setelah melalui lima perlawanan tanpa kalah.
Di samping itu, penyokong skuad Sang Badak memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat para pemain agar dapat merampas kedudukan teratas dalam carta liga.
2) Penggiliran pemain
Segelintir penyokong berpendapat bahawa penggiliran pemain setiap perlawanan perlu dijalankan terutamanya bahagian tengah dan pertahanan. Hal ini kerana, jika ingin menunggu pemain digantung atau cedera, sangat mustahil untuk pemain yang diganti konsisten dalam bermain untuk saat-saat akhir.
Jurulatih skuad Sang Badak sudah pasti memberikan yang terbaik untuk anak-anak buahnya menjelang setiap perlawanan. — Instagram/Officialsabahfc
Selain itu, perbezaan antara pemain utama dengan simpanan tidak jauh beza namun jika tidak diberi minit permainan sudah pasti akan nampak perbezaan yang ketara.
3) Pengurusan perlu bersatu hati
Pihak pengurusan perlu satu hati dalam membina satu pasukan yang kukuh agar pemain mempunyai semangat membara dan mempercayai satu sama lain. Pengurusan yang baik akan mendengar setiap luahan hati para pemain dan akan mengatasi perselisihan faham atau tidak berpuas hati antara satu sama lain.
Pemain juga akan bersemangat sekiranya mereka dijaga dengan baik oleh pengurusan yang bertanggungjawab. Dari segi kekalahan pula, pihak pengurusan tidak sewajarnya menyalahkan pemain sepenuhnya tapi sebaliknya perlu memberi motivasi yang tinggi agar para pemain kekal bersemangat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram