'Comeback' anak jati Kedah beri nafas lega buat penyokong Sabah lawan NSFC


  • Podium
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Sabah kini jatuh ketangga kelima liga dengan mengutip sebanyak 13 mata. — Facebook/SabahFC

KEKALAHAN berganda dihadapi Sabah FC baru-baru ini masih kekal menjadi luka buat penyokong The Rhinos terutamanya apabila melihat kedudukan pasukan yang kini berada di tangga kelima dalam saingan Liga Super 2023.

Tewas dua kali dalam pertembungan dengan pihak lawan iaitu 0-4 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum kalah 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC merupakan satu pengajaran buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Daripada menduduki tempat tiga teratas liga, Sabah kini jatuh ketangga kelima liga dan berkongsi mata bersama Sri Pahang FC iaitu 13 mata.

Oleh itu, perlawanan menjelang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Isnin ini dianggap aksi getir bagi mengembalikan momentum The Rhinos dan mendapatkan semula posisi tiga teratas dalam saingan liga.

Kepercayaan penyokong untuk melihat Sang Badak kembali dalam landasan kemenangan semakin utuh selepas melihat kembali jeneral tengah, Gary Steven Robbat.

Kehadirannya di sesi latihan Sabah FC memberi senyuman kepada penyokong yang merindukan aksi pemain kelahiran Kulim, Kedah itu dan mereka percaya Gary mampu menjadi senjata rahsia menentang skuad Jang nanti.

WhatsApp Image 2023-04-08 at 12.27.14

Gary ketika sesi latihan bersama Sabah FC menjelang perlawanan menentang skuad Jang. — Facebook/SabahFC

“Gary Steven Robbat sudah mula mengikuti sesi latihan bersama rakan-rakan lain. Haraplah dia dapat diturunkan menentang Negeri Sembilan nanti,” kata penyokong Sang Badak, Bear Gryll.

“Harap dia ini main. Bagus dia ini kawal bahagian tengah,” kata seorang lagi penyokong Sabah, Syrlnzm Zam.

“Kalau ini turun dengan Stuart (Stuart Wilkin) dan Park (Park Tae-su) memang boleh,” komen penyokong The Rhinos, Mardi Mardi yang percaya Gabungan trio tersebut mampu menjaga bahagian tengah Sabah.

Jika Gary diturunkan dalam aksi di Stadium Paroi, Seremban pada Isnin ini, ia merupakan perlawanan pertamanya dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Musim lepas, pemain berusia 30 tahun itu terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi dengan kerap di bawah kendalian Kim Swee apabila berdepan isu kecergasan sepanjang musim.

Dalam 22 perlawanan Liga Super, Gary hanya diturunkan sebanyak 15 kali sebelum isu kecederaan menyaksikan dia tidak membuat sebarang penampilan dalam kempen Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram