PENYERANG import dari Brazil, Willian Lira datang ke Kedah dengan membawa harapan yang besar berikutan pengalamannya pernah beraksi dalam saingan Liga Jepun dan Serie A Brazil.
Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu belum berada di tahap yang memuaskan apabila hanya merekodkan dua gol dalam lima perlawanan sebelum rehat antarabangsa pada Mac lalu.
Ekoran daripada kurang mendapat sokongan dan sering menerima kecaman penyokong, bekas tonggak Venfort Kofu itu juga kelihatan tidak bersemangat.
Pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain bagaimanapun tetap kekal dengan pilihannya untuk menurunkanya pada perlawanan menentang Penang baru-baru ini dan Lira berhasil membalas kepercayaannya.
Lira menambah akaun golnya dalam kemenangan 1-0 pasukan Hijau Kuning ketika menentang Pulau Pinang dan kini berharap untuk mendapatkan lebih banyak gol.
Nafuzi sering memberi kepercayaan kepada Lira dengan menurunkannya sebagai kesebelasan utama. — Facebook/KDAFC
“Saya rasa baik. Satu peluang, satu gol. Kadang-kadang, penyerang mempunyai fasa ini. Mereka bekerja keras untuk gol tetapi peluangnya mungkin sukar. Saya gembira mendapat gol dan kini saya mempunyai keyakinan.
“Kadangkala, kami bergantung kepada teknik, dan kadangkala, saya membuka ruang untuk pemain lain menjaringkan gol.
“Peranan saya adalah berdasarkan taktikal yang digunakan jurulatih. Apabila saya mendapat peluang, saya mahu menjaringkan gol.
“Sekarang saya membiasakan diri dengan taktikal, dan keserasian antara pemain juga semakin baik. Saya fikir saya akan menjaringkan lebih banyak gol selepas ini,” kongsinya.
Nafuzi gembira dengan kejayaan Lira itu dan mengatakan bahawa ia akan meningkatkan keyakinannya selepas ini.
Cabaran Kedah akan bertambah selepas ini yang mana Sang Kenari akan berdepan pencabar utama, Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Ahad.
“Satu gol untuk tiga mata dan juga untuk keyakinannya. Saya harap ini adalah permulaan yang diperlukan untuk Lira.
“JDT, kita semua tahu. Kami perlu bersedia, ia akan menjadi perlawanan menarik, tetapi kami perlu memberikan yang terbaik, itu penting,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram