Bojan harus dah ‘bunuh’ dua pemainnya jika seri dengan Sabah


  • Podium
  • Jumaat, 07 Apr 2023

Bojan menarik nafas lega apabila KL City berjaya mencatatkan kemenangan pertama dalam Liga Super musim ini.

'LAPTOP Cabuk' menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

“SAYA harus dah bunuh dua pemain saya jika kami seri dengan Sabah,” kata Bojan Hodak,mengimbas kembali detik mencemaskan menuju ke penghujung pertemuan dengan skuad Sang Badak itu di Stadium Bolasepak Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengakui jantungnya terhenti sedetik atau dua, jurulatih itu berkata, ia memang ditakutinya untuk Sabah mendapatkan gol penyamaan di penghujung perlawanan ketika berlaku kekeliruan di depan pintu gol tuan rumah.

Janganlah keputusan seri sekali lagi, terdetik di hatinya ketika itu.

Ia bermula daripada sepakan jauh penjaga gol lawan, David Lim, dari garis tepi padang di kawasannya sendiri yang ditanduk sipi oleh Amri Yahyah ke depan pintu gol skuad Warga Kota itu.

Pertahanan KL City, Kamal Azizi, dilihat dapat mengawal bola sambil menantikan tindakan lanjut penjaga gol, Azri Ghani, yang berada hampir dengannya.

Sedetik kekeliruan di antara kedua-duanya menyaksikan pemain gantian Sabah berjersi nombor 9, Njoku Jacob, disajikan peluang terhidang daripada bola yang bergolek. Mujur sepakannya tinggi ke langit.

T. Saravanan pemain pertama yang membuka akaun jaringan KL City ketika menentang Sabah.

Ditanya apakah dia akan membunuh kedua-dua Azri dan Kamal, jika gol penyamaan Sabah terhasil daripada keributan itu, Bojan menjawab: “Saya harus katakan anda tidak tidak terlalu jauh daripada hakikat sebenar.”

Selang beberapa minit selepas itu, KL City memperoleh gol keduanya apabila Herlison Caion memperagakan sikap tidak tamaknya dengan melorongkan buat Sean Gianelli menyudahkan jaringan untuk kemenangan 2-0 tuan rumah.

Penantian KL City yang berlarutan dalam lima perlawanan bagi mengecap nikmat kemenangansulung, berakhir sudah untuk Hodak mengumumkannya sebagai rentetan terpanjang tanpa kemenangan yang pernah dilaluinya sebagai jurulatih.

“Dalam bola sepak, nasib malang mempunyai kitarannya sendiri. Selepas beberapa kali dikecewakan oleh gol lewat pasukan lawan ke atas kami musim ini, saya memang berasa serik untuk ia berulang lagi.

“Juga statistik dalam bola sepak mendedahkan jarang sebuah pasukan dibolosi gol sendiri lebih daripada sekali dalam semusim, (sedangkan) kami sudah dihukum dua gol sendiri dalam enam perlawanan.

“Jadi, saya boleh faham mengapa Kamal dan Azri kedua-duanya terlalu terlalu berhati-hati untuk mengelakkan kesilapan (ketika keadaan cemas pada minit ke-90 itu),” ceritanya kepada Laptop Cabuk.

Hodak akui merasa gementar ketika menentang Sabah di halaman sendiri.

Tidak hairanlah seusai perlawanan itu, Hodak dilihat menjulang kedua-dua tangannya tanda kepuasan dan kemudian menepuk ‘high five’ dengan setiap seorang daripada anggota pasukannya sebagai meraikan berakhirnya kemarau kemenangan.

“Nahhh! Saya lakukan ‘high five’ dengan semua orang dalam pasukan saya selepas setiap perlawanan, cuma ia lebih bermakna selepas perlawanan dengan Sabah itu kerana dah lama kami tunggu tiga mata pertama ini,” cetusnya.

Memiliki rekod kebal sebelum kunjungan mereka ke Semenanjung pada minggu keenam dan ketujuh Liga Super (LS6 dan LS7) kali ini, kepulangan Datuk Ong Kim Swee dan anak-anak buahnya ke Kota Kinabalu, Sabah dipalit dua kekalahan berturut-turut selepas mereka dikecewakan 4-0 oleh Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor terdahulu pada 31 Mac.

Seharusnya pertemuan dengan KL City itu mahu dijadikan penebus tapi Hodak mempunyai pengamatannya sendiri sambil berkongsi bahawa pasukannya tidak pernah tewas kepada Sabah, termasuk di Kota Kinabalu, sepanjang dua setengah tahun lalu.

“Pasukan yang baru ditundukkan JDT biasanya akan bertemu kami selepas itu. Ada kalanya ia bagus, ada kalanya tidak. Selangor (selepas kalah 4-0 kepada JDT) kemudian mengalahkan kami 3-1 tapi Sabah pula kami tundukkan.

“Seterusnya, Perak (selepas diaibkan JDT 5-0) akan bertandang ke Cheras, Ahad ini. Tentunya ia akan menarik untuk ditonton, bukan?”

Pengamatan tajam jurulatih berbangsa Croatia berusia 52 tahun itu turut membawa kepada satu lagi fakta menarik bahawa KL City sudah pun berdepan empat daripada enam ‘lawan besar’ di peringkat awal musim lagi – JDT (0-3), Terengganu (0-0), Selangor (1-3) dan Sabah (2-0) – dengan meninggalkan Kedah FC dan Sri Pahang FC yang belum ditemui dalam baki pusingan pertama ini.

Pemain-pemain KL City meraikan jaringan oleh Giannelli ketika masa tambahan perlaawanan.

Apa yang tersirat daripada kata-katanya itu terserah kepada tafsiran masing-masing tetapi dia seakan-akan membayangkan laluan yang lebih dipermudahkan selepas ini.

Bojan, bagaimanapun, menganggap itu sebagai sesuatu yang harus difikirkan kemudian kerana KL City, yang menduduki tangga kesembilan hasil enam mata dengan bermain kurang satu perlawanan, mahu menikmati dahulu kemenangan pertama mereka.

“Kemenangan ini mengembalikan keyakinan dan senyuman pada pemain-pemain saya. Dengan perubahan besar dalam pasukan kami musim ini, lima atau enam pemain sebelum ini tidak terlalu yakin dalam aksi mereka.

“Tapi ini akan menjadi titik perubahan. Kembalinya Zhafri Yahya dan J. Partiban daripada kecederaan nanti harus tambah menstabilkan pasukan,” katanya.

Bagaimana kegembiraan pemain meraikan kemenangan kelmarin?

“Anda patut berada di bilik persalinan untuk melihat dan mendengarnya.

“Mereka hampir saja mahu meruntuhkannya dengan pekikan dan sorakan mereka.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram