KOMEN ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim susulan kekalahan 0-5 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) Selasa lalu jelas menerima perhatian pelbagai pihak.
Pengendali berusia 60 tahun itu disifatkan sesetengah pihak sebagai angkuh kerana enggan memberi jawapan terbaik ketika diminta pihak media untuk mengulas akan perlawanan tersebut.
Antara yang jelas berang dengan respons tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang mahu Teong Kim bersikap lebih profesional.
Penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG) juga sepertinya tidak mahu ketinggalan meluahkan perasaan mereka dengan segelintir daripada mereka kecewa dengan personaliti bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari itu.
Namun, tampil seorang lagi individu yang memecahkan kebisuannya terhadap jawapan Teong Kim tatkala isu berkenaan hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.
Penyerang legenda Perak, Khalid Jamlus di laman Facebook peribadinya pada Khamis berpendapat kekecewaan berikutan kekalahan memalukan di tangan JDT memberi kesan mendalam terhadap emosi ketua jurulatih kelahiran Melaka terbabit ketika itu.
Khalid percaya kekecewaan memberi kesan terhadap jawapan Teong Kim. — Agensi
"Secara jujurnya, aku dapat rasakan dia (Teong Kim) amat kecewa dengan kekalahan itu walaupun hakikatnya pemain yang dimilikinya hanyalah mereka yang lebih muda.
"Apabila mencerita kerjasama atau perihal kerja keras, pasti semua pemain sudah melakukan yang terbaik, tetapi terbatas dengan kehebatan pasukan JDT," tulisnya.
Khalid sememangnya satu figura yang cukup dihormati di kelab berkenaan selepas pernah mengemudi jentera serangan Perak FA sebanyak dua kali, iaitu dari tahun 1999 sehingga 2004 dan dari 2007 hingga 2008.
Sepanjang tempoh berkenaan, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu pernah muncul sebagai pemenang kasut emas sebanyak sekali di samping membantu skuad TBG menjulang pelbagai kejuaraan.
Dalam masa sama, Khalid turut berharap kelab berkenaan tidak mudah melayangkan bendera putih dan terus berjuang agar dapat mengembalikan zaman-zaman kegemilangan mereka.
"Saya mendoakan satu hari nanti, Perak akan menjadi pasukan digeruni, insya-ALLAH. Buang yang keruh, ambil yang jernih dan kembalilah dengan lebih bersemangat," katanya lagi.
Kekalahan berkenaan menyaksikan pasukan kendalian Teong Kim itu berada di kedudukan ke-11 Liga Super dengan hanya lima mata dikumpul hasil satu kemenangan dan dua keputusan seri dicatatkan setakat tujuh perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram