Bukan insiden pertama, LTK rupanya ikut acuan legenda Perak


  • Podium
  • Jumaat, 07 Apr 2023

Terdapat penyokong berpendapat bahawa terdapat persamaan antara Teong Kim (kiri) dan Weigang dari segi kelantangan mereka dalam memberikan pendapat.

SEJAK dipilih menjadi pengendali Perak FC pada musim ini, nama Datuk Lim Teong Kim sentiasa menjadi perhatian peminat bola sepak tanah air.

Ini kerana, dengan memegang status sebagai bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich, ramai pihak menanti-nantikan hasil tangan anak kelahiran Melaka itu.

Apatah lagi, The Bos Gaurus juga merupakan kelab profesional pertama dikendalikannya sepanjang karier kejurulatihan beliau.

Dalam pada itu, sebagai seorang individu dikenali dengan sikap tegas dan berterus terang ketika memberikan pendapat, kenyataan dikeluarkannya dalam hampir setiap minggu perlawanan juga sentiasa menjadi bahan berita.

Malah beliau yang berusia 59 tahun juga beberapa kali menimbulkan kontroversi melalui kenyataan jujurnya berhubung prestasi skuad Perak FC yang setakat ini masih belum menunjukkan hasil yang agak positif.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan, Perak berada di kedudukan 11 carta liga daripada 14 pasukan hasil daripada satu kemenangan, dua seri dan empat kekalahan yang direkodkan.

weigang 5

Terdiri daripada barisan pemain muda, Perak FC ketika ini masih gagal untuk menunjukkan potensi bagi bersaing dengan lebih baik di Liga Super pada musim ini. — Facebook/PerakFC

Antara insiden mencuri perhatian tentunya pertengkaran berlaku antara bekas Pengarah Projek Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bersama penyokong skuad Seladang selepas perlawanan menentang Sri Pahang FC pada 16 Mac lalu.

Sementara itu, yang insiden terbaharu pula membabitkan reaksi dingin yang ditunjukkan beliau selepas tewas 0-5 di tangan Johor Darul Takzim pada Selasa lalu.

Dalam temu bual bersama media selepas tamat permainan, Teong Kim dilihat memberikan komen yang kurang mesra terhadap soalan diajukan.

Rata-rata peminat dan pemerhati bola sepak negara menyifatkan reaksi dipamerkan beliau dalam melayani petugas media itu sebagai tidak profesional.

Namun begitu, terdapat penyokong berpendapat sikap ditunjukkan Teong Kim itu bukanlah pelik untuk pasukan seperti Perak.

Azrul Hakimie berkata, ini kerana sebelum Teong Kim, skuad Seladang turut mempunyai jurulatih dengan perangai seakan-akan serupa iaitu mendiang Karl-Heinz Weigang yang juga merupakan bekas jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan.

"Siapa tidak kenal mogul kontroversi ini yang kata-katanya sepedas cili pedas. Masih terngiang labun orang lama perihal Allahyarham Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)) ke Jerman memujuk Weigang.

"Tidak tahu apa yang diperkatakan sehingga berjaya membawa mendiang kembali selepas Olimpik 1980. Perjalanan Weigang di Perak bukan semuanya manis, berliku dan di sini berlakunya banyak nostalgia indah.

weigang 3

Weigang turut pernah mengendalikan pasikan negara untuk bersaing di kejohanan Olimpik pada tahun 1980. — Facebook

"Siapa yang tidak dikritik mendiang? FAM, pemain sendiri, lawan bahkan rumput juga terkena tempias," ujarnya.

Penyokong Perak FC itu menambah, jurulatih kelahiran Jerman juga dilihat sering berkonfrontasi dengan penyokong sepanjang karier kejurulatihannya.

"Pada perlawanan terakhir Weigang bersama Perak, beliau bertemu peminat meskipun mereka marah selepas tewas 0-3.

"Pada hemat teman, memiliki jurulatih yang vokal adalah satu bonus malah menjadi sumber motivasi tambahan kepada pemain. Meskipun sikap seperti ini kurang digemari lawan namun daripada sudut lain pemain berasa terbela.

"Tumpuan tidak terarah kepada mereka, segala beban jatuh kepada jurulatih, pemain boleh terus membangun," ujarnya yang tururt berpendapat reaksi diberikan Teong Kim itu lebih baik daripada sekdadar memberi kenyataan populis untuk memuaskan hati pemberita.

Untuk rekod, Weigang yang meninggal dunia pada 2017 ketika berusia 81 tahun pernah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan pencapaian tertinggi dalam arena bolasepak dunia melalui penganugerahan Merit of Gold daripada FIFA pada tahun 1998.

Selain pasukan kebangsaan dan Perak, beliau juga pernah mengendalikan pasukan Johor dan beberapa negara lain seperti Vietnam, Mali dan Sri Lanka sejak berkecimpung dalam sukan bola sepak bermula tahun 1964 hingga 2017. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram