'Dulu orang sanjung dia', TMJ ulas kontroversi LTK


  • Podium
  • Khamis, 06 Apr 2023

TMJ dan Teong Kim. — Facebook/Johor Southern Tigers

"BENDA itu daripada dulu lagi saya dah cakap pasal benda ini."

Demikian reaksi yang diberikan pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) ketika memberi komen mengenai isu membabitkan Datuk Lim Teong Kim dan kemenangan pasukannya yang membelasah Perak FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada Rabu.

Kenyataan itu dimuat naik dalam satu video menerusi laman Facebook, Johor Southern Tigers pada Khamis.

Sebelum ini, pengendali Perak FC, Teong Kim mendapat kritikan daripada penyokong selepas beliau bersikap acuh tak acuh ketika menjawab soalan wartawan dan tindakannya juga tidak menggambarkan seperti seorang jurulatih profesional.

Tunku Ismail menegaskan bahawa sebelum ini, beliau sudah pernah mengulas mengenai sikap bekas Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu, namun ramai daripada penyokong bola sepak tanah air tidak senada dengannya.

LTK

Reaksi negatif Teong Kim ketika ditanya soalan mengenai persembahan Perak FC ketika menentang JDT pada Selasa. — Astro Arena

'Benda itu daripada dulu lagi saya dah cakap pasal benda ini. Tetapi masa itu semua orang sanjung dia. Jadi saya pun tidak nak cakap pasal benda itu.

"Banyak benda yang saya cakap berkenaan bola sepak tanah air. Dulu dipandang remeh, hari inilah baru terhegeh-hegeh. Benda semua berlaku padang, pusat latihan, nilai komersial dan seterusnya.

"Tetapi orang yang membenci ini. Apa benda baik dibuat pun, mereka akan sentiasa pandang benda itu daripada sudut yang negatif tetapi itu adalah hidup. Itu normal," katanya.

Sebelum ini, Tunku Ismail pernah mendedahkan bahawa Teong Kim pernah meminta gaji sebanyak RM330-380 ribu sebulan dan membawa dua hingga tiga pembantu sewaktu memohon untuk bekerja bersama JDT.

Pemilik JDT itu berkata, beksaas jurulatih skuad bawah 19 (B-19) tahun kelab Bayern Munich di Jerman tersebut dianggap tidak mempunyai pengalaman secukupnya melatih skuad senior, selain permintaan gaji yang terlalu mahal hingga mencecah ratusan ribu ringgit sebulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram