'Tenang is good', Azraai nasihat LTK soal etika


  • Podium
  • Khamis, 06 Apr 2023

Teong Kim dilihat bersikap acuh tak acuh ketika menjawab dua soalan petugas media stesen televisyen selepas perlawanan. — Stadium Astro

PENGENDALI Perak FC, Datuk Lim Teong Kim, dinasihati untuk lebih bijaksana mengawal perasaan ketika mengemudi skuad Seladang mengharungi Liga Super.

Malah, jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berharap bekas Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu meletakkan profesional di tahap lebih tinggi, lapor Stadium Astro.

“Sejujurnya apabila kami yang bergelar ketua jurulatih kena ingat semua mata terutama komuniti bola sepak akan memerhatikan setiap pergerakan kami.

“Insiden membaling bola terhadap Arif Aiman tidak harus berlaku kerana jelas ia tidak profesional dan keputusan pengadil melayangkan kad kuning adalah tepat.

“Arif Aiman pula bekas pelatih AMD dan seharusnya bekas tok guru perlulah menujukkan contoh baik, tenang is good,” katanya.

Arif Aiman pernah dilatih oleh Teong Kim ketika berada di AMD.

Dalam aksi Liga Super itu, anak buah Teong Kim dijinakkan pendahulu Johor Darul Takzim (JDT) 0-5 di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Selasa.

Kekalahan kepada juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu menyaksikan Perak kini berada di tangga ke-10 dengan lima mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Kemenangan mudah ke atas Perak FC pada Selasa turut dibayangi dengan layangan kad kuning kepada Teong Kim berikutan insiden yang berlaku pada minit ke-74 perlawanan.

Ketika itu bola terkeluar dari permainan, Arif Aiman meminta bola daripada Teong Kim untuk balingan ke dalam memandangkan bola dikeluarkan pemain Perak.

Tetapi balingan pantas bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) itu hampir mengenai kepalanya tetapi berjaya disambut pemain sayap kebangsaan itu.

Insiden perbalahan Teong Kim dan Arif Aiman.

Tindakan Teong Kim itu mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa pemain JDT termasuk Arif Aiman dan penyerang berbisa mereka, Bergson da Silva.

Pertengkaran tersebut berlanjutan sehinggalah pengadil melayangkan kad kuning kepada Teong Kim.

Rentetan di stadium tidak berakhir di situ apabila Teong Kim dilihat bersikap acuh tak acuh ketika menjawab dua soalan petugas media stesen televisyen selepas perlawanan.

Azraai yang juga bekas pemain kebangsaan juga menasihati bekas pemain tengah Harimau Malaya itu agar lebih memahami etika ketika berdepan petugas media.

“Saya tidak nafikan terdapat juga soalan dalam kalangan petugas media yang bersifat provokasi.

“Namun, sebagai bekas pemain dan jurulatih berpengalaman yang membawa imej kelab, dia sepatutnya lebih matang apabila berdepan situasi sebegini.

“Harus dingat apa sahaja yang keluar dari mulut seseorang itu menggambar keperibadian seseorang dalam kehidupannya,” ujarnya.

Teong Kim (kiri) ketika bersama Bayern Munich B-19.

Sebagai rekod, Teong Kim pernah beraksi bersama beberapa kelab tempatan seperti Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Kedah selain Hertha Berlin (Jerman) dan Ibiza (Sepanyol).

Bidang kejurulatihan pula menyaksikan Teong Kim memiliki pengalaman 12 tahun bersama skuad Bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich.

Selain itu, dia yang memiliki 60 penampilan bersama skuad kebangsaan sepanjang 1982 hingga 1991 telah meledak 12 gol serta pernah berkhidmat bersama kelab Itali, Bologna.

Pengalaman di tanah air juga tidak kurang hebat apabila pernah memegang jawatan Pengarah Projek NFDP pada 2013 sebelum dilantik Pengarah AMD pada 2016.

Musim 2023, Teong Kim menyahut cabaran bersama skuad Seladang apabila menandatangani kontrak dua tahun dengan pilihan memperbaharui kontrak selama setahun. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram