'Bagaimana dengan kelab anda', TMJ jawab isu gaji pemain JDT dibayar pihak ketiga


  • Podium
  • Jumaat, 07 Apr 2023

TMJ jawab segala dakwaan mengenai pembayaran gaji pemain-pemain JDT.

SEJAK kebelakangan ini suasana bola sepak Liga Malaysia (Liga M) dibanjiri dengan isu-isu berkaitan gaji pemain.

Sarawak United dan Melaka United antara pasukan yang paling lama terpalit dengan isu gaji sejak musim lepas sehingga kini yang masih belum selesai.

Baru-baru ini pula timbul isu gaji dalam kem pasukan Kelantan FC selepas ejen dari Korea Selatan mendedahkan kepincangan yang sedang berlaku dalam skuad The Red Warrior (TRW) selepas pemecatan ketua jurulatih, Choi Moon-sik.

Namun tiada angin tiada ribut, tiba-tiba nama pasukan Johor Darul Takzim (JDT) juga dikaitkan dengan isu gaji apabila salah seorang penyokong mendakwa gaji pemain-pemain JDT dibayar oleh pihak ketiga iaitu sebuah syarikat kontraktor.

Hantaran yang dimuat naik oleh @Acaprosdi46 di Twitter pada Jumaat itu menarik perhatian orang ramai sehingga mendapat respon dari Tengku Mahkota Johor (TMJ).

"Kalau kami penyokong cakap benda sama yang jadi dekat Johor selama sembilan ke 10 tahun ini, Tuanku boleh terima ke?

"Kalau penyokong atau pemilik kelab cakap yang ada kontraktor bayar gaji pemain-pemain Johor, Tuanku boleh terima ke?

"Janganlah assume macam itu dekat Selangor disebabkn beberapa individu yang Tuanku tak baik," katanya di Twitter.

Tangkap layar dakwaan oleh penyokong mengenai pembayaran gaji pemain JDT.

TMJ tampil mengeluarkan kenyataan untuk menjawab segala persoalan yang dimuat naik oleh individu tersebut.

"Alhamdulillah, saya memang dah lama mengalu-alukan soalan seperti ini. Yang pertama saya tak rasa apa-apa kerana selama 11 tahun dalam industri bola sepak tiada perkara yg baik pun dikatakan tentang JDT. Kami di JDT dah biasa dgn perkara-perkara sebegini.

"Berkenaan dengan tuduhan yang mengatakan 'kontraktor yang bayar gaji pemain-pemain'. Saya menyeru pihak SPRM atau mana-mana pemilik kelab bola sepak yang berminat, boleh datang sendiri dan periksa audit kewangan JDT termasuk sumber-sumber pendapatan dan perbelanjaan, kata TMJ.

Pemain-pemain JDT. — Facebook/JDT

Pemilik JDT itu turut menegaskan segala pendapatan kelab Harimau Selatan itu hasil daripada tajaan dan duit beliau sendiri.

"Duit JDT datang daripada sponsor, serta duit saya dan DYMM Sultan Johor sendiri.

"Ini bukan duit dari Menteri Besar atau duit kerajaan. Bagaimana pula dengan kelab anda?" soal TMJ.

Sebelum ini TMJ mengesyaki sebuah pasukan seolah-olah mendapat ‘bantuan istimewa’ daripada orang atasan untuk mengutip mata maksimum dalam setiap perlawanan Liga Super.

Menerusi video yang dimuat naik oleh laman Facebook Johor Southern Tiger, TMJ berkata, mengenai kelebihan yang dimiliki oleh sebuah pasukan mengharungi empat perlawanan pada bulan Ramadan di halaman sendiri berturut-turut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram