PASUKAN Sri Pahang nampaknya sedang mengikuti jejak langkah Johor Darul Takzim (JDT) apabila tidak tewas sepanjang tujuh perlawanan Liga Super setakat ini.
Sri Pahang yang berjaya menewaskan PDRM FC dengan keputusan 2-1 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor berjaya mengutip tiga mata penuh sekali gus menduduki tangga keempat liga dengan 13 mata.
Dua gol dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-17 dan Kpah Sherman pada minit ke-22.
Walaupun Tok Gajah berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan itu, statistik menunjukkan PDRM FC lebih banyak melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan iaitu 16 percubaan berbanding Sri Pahang yang hanya merekodkan 10 percubaan sepanjang permainan.
Statistik perlawanan Sri Pahang dan PDRM FC. — Facebook/Sri Pahang FC
Manakala The Cops turut memperolehi 13 sepakan sudut berbanding Sri Pahang yang gagal mendapatkan sebarang sepakan sudut sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
Ternyata statistik perlawanan menentang PDRM FC itu mula menimbulkan kerisauan dalam kalangan penyokong-penyokong Tok Gajah lagi-lagi apabila akan berdepan JDT pada Mei nanti.
"Permainan terabur, taktikal ke laut, menang disebabkan nasib, PDRM FC main lagi cantik dengan posisi semuanya bergerak menekan pemain-pemain Pahang cuma tak ada luck," kata Kuey Copacabana.
"Tengok statistik ini dah tahu PDRM FC main lagi bagus, cuma nasib menyebelahi Sri Pahang," ujar Mohd Rizal.
Kedudukan semasa Liga Super selepas tujuh perlawanan. — Facebook/MFL
"Tak kisah pun menang dengan corak permainan yang buruk, cuma risau berapa kita nak kena bila lawan JDT, kalau permainan teruk macam ini mesti confirm empat atau lima biji," jelas Prince Syaf.
"Banyak lagi yang perlu diperbaiki, lawan PDRM kita hanya bernasib baik, perlu ingat langit tak selalu cerah," luah Fazli Manan.
Anak-anak buah Fandi Ahmad musim ini berjaya merekodkan tiga kemenangan, empat seri dengan enam jaringan dan sekadar bolos tujuh dalam tujuh perlawanan.
Selepas ini pasukan Sri Pahang FC akan menerima kunjungan Kelantan United di halaman sendiri, Stadium Darul Makmur, Pahang pada Isnin minggu depan dalam misi merapatkan kedudukan dengan Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC yang hanya dibezakan dengan tiga mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram