'Bahasa tubuh Teong Kim negatif', SAM ingatkan media bukan tempat lepas geram


  • Podium
  • Rabu, 05 Apr 2023

Reaksi negatif Teong Kim ketika ditanya soalan mengenai persembahan Perak FC ketika menentang JDT pada Selasa. — Astro Arena

PERSATUAN Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menzahirkan kekecewaan terhadap cara ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim menyantuni petugas media selepas tamat aksi Liga Super antara Perak dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh, Perak, pada Selasa.

Presidennya, Norismadi Abd Manap berkata, Teong Kim seorang jurulatih yang memiliki pengalaman luas di Eropah, namun bersikap acuh tak acuh ketika menjawab dua soalan mudah yang dilontarkan penolong penerbit stesen televisyen swasta kepadanya sejurus perlawanan tamat.

"Bahasa tubuh serta cara dia berdepan dengan media untuk dua soalan ringkas itu amat negatif pada pandangan SAM. Rakan media faham situasi dan emosi jurulatih selepas mengalami kekalahan besar, tetapi kami hanya menjalankan tugas kami.

"Janganlah menjadikan media sebagai tempat untuk melepaskan geram kerana kami tidak mencampuri sebarang urusan dalam pasukan anda dan tidak mempunyai sebarang agenda peribadi,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Norismadi berkata, media berperanan untuk menyampaikan maklumat dan tidak seharusnya menerima layanan seperti diberikan bekas Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu.

Pada pertembungan di Ipoh, JDT membelasah Perak 5-0 sekali gus menyaksikan anak buah Teong Kim mencatat kekalahan ketiga berturut-turut.

Kekalahan besar itu dilihat mempengaruhi emosi Teong Kim yang menunjukkan reaksi kurang mesra terhadap penolong penerbit bertugas semasa sesi temu bual yang disiarkan secara langsung selepas perlawanan, termasuk meminta pengamal media berkenaan melakukan penilaian serta mencari jawapan sendiri berhubung soalan yang diberikan.

Perak kini berada di kedudukan ke-10 dengan mengumpul lima mata selepas hanya berjaya merakam satu kemenangan dan dua seri dalam keseluruhan tujuh perlawanan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram