'Kalau tak nak pressure jadi coach, lebih baik saya jual goreng pisang', komen Teong Kim menjelang aksi TBG-JDT


  • Podium
  • Selasa, 04 Apr 2023

Teong Kim masih percaya jika pasukannya memberi fokus, tidak mustahil untuk mendapatkan mata ketika aksi menentang JDT malam ini. — Facebook/PerakFC

TIADA siapa boleh menyalahkan Perak kerana berada dalam ketakutan menjelang perlawanan menentang pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi ketujuh Liga Super di Stadium Ipoh, Perak pada Selasa.

Skuad Harimau Selatan sememangnya berada di kelas mereka tersendiri apabila mempamerkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi enam perlawanan

Berdasarkan statistik, JDT sudah mencatatkan 25 gol dan hanya satu bolos setakat ini.

Manakala, skuad Seladang pula sedang bergelut berada di tangga ke-10 dalam liga dengan hanya menang sekali dengan empat gol dijaringkan, selain sebanyak 10 kali dibolosi.

Menjelang perlawanan yang menggerunkan itu, pengendali Perak, Datuk Lim Teong Kim sempat membuat jenaka bagi menghilangkan tekanannya dan para pemain.

‘‘Saya perlukan tongkat ajaib untuk perlawanan ini, yang mana saya boleh mengunakannya dan kita boleh menewaskan JDT.

“Tiada guna bercakap tentang tekanan. Kalau tak nak pressure jadi coach, lebih baik saya jual goreng pisang. Tetapi kerja itu juga mempunyai tekanan,” katanya.

WhatsApp Image 2023-04-04 at 12.29.42

Pemain Perak ketika sesi latihan menjelang aksi bertemu JDT di Stadium Ipoh. — Facebook/PerakFC

Teong Kim memotivasikan pemainnya dengan memberitahu mereka bahawa tidak mustahil untuk mencuri mata jika Perak FC memberi tumpuan kepada perlawanan berkenaan.

''Kami telah membuat persediaan untuk perlawanan ini sama seperti permainan lain, kami perlu berdisiplin dan fokus,” kongsinya.

Satu-satunya kemenangan yang diperolehi Perak ialah ketika menjinakkan Kuching City 2-0.

Dalam pada itu, perkembangan positif mengenai pasukan itu ialah kecemerlangan penjaga gol Bryan See, yang sudah menyelamatkan 25 gol yang mengagumkan dalam enam perlawanan.

Ia adalah salah satu statistik terbaik untuk penjaga gol dalam saingan Liga Super.

Bryan tahu bahawa dia perlu melakukan yang terbaik untuk menghalang JDT daripada melakukan serangan mereka.

“Ini bukan kali pertama saya berdepan dengan mereka. Saya bermain mereka tiga kali tahun lalu di Melaka dan melakukannya dengan baik untuk menyukarkan mereka.

“Kami telah melakukan banyak analisis selepas perlawanan untuk melihat yang mana kami mesti menambah baik. Sekarang, kami akan bermain pasukan terbaik di negara ini dan kami tahu apa yang menanti,” kata pemain berusia 29 tahun itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram