"KAMI memohon maaf kepada para penyokong Perak FC".
Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi apabila pasukannya tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan 0-5 di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Selasa.
Perak FC di bawah bimbingan Datuk Lim Teong Kim, setakat ini hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Super.
Semasa perlawanan berlangsung, Teong Kim dilihat gagal mengawal emosi apabila memulakan provokasi di antara dia dan pemain-pemain JDT sehingga dilayangkan kad kuning oleh pengadil.
Selepas tewas kepada JDT, Teong Kim sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila memberikan reaksi yang kurang senang ketika mengelak untuk menjawab soalan yang diajukan oleh wartawan sejurus tamat perlawanan.
Ternyata sikap yang ditunjukkan oleh Teong Kim itu menambah duka penyokong The Bos Gaurus dengan prestasi semasa yang tidak konsisten.
Kenyataan Perak FC. — Facebook/Perak FC
Dengan kejadian yang berlaku pada Selasa, pihak pengurusan Perak FC tampil membuat satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebook Perak Football Club dan memohon maaf kepada seluruh penyokong.
"Kami memohon maaf kepada para penyokong Perak FC dengan aksi tidak memuaskan pada Selasa. JDT adalah pasukan gergasi dan memiliki skuad yang sangat kuat, walau bagaimanapun kekalahan besar tanpa melawan atau memberikan cabaran adalah tidak boleh diterima para penyokong bola sepak Malaysia.
"Malangnya, pasukan kami ditimpa dengan banyak kecederaan yang menyebabkan jurulatih tidak dapat menyenaraikan kesebelasan terbaik.
"Pemain utama kami sedang kembali daripada kecederaan, tetapi malam ini (Selasa) kita ditimpa satu lagi kecederaan dengan pemain penyerang, Seo Seonung yang dikeluarkan pada separuh masa kedua mengalami kecederaan yang dilihat serius menambahkan lagi senarai pemain kecederaan Perak FC," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya pihak pengurusan akan menilai semula prestasi pasukan dan akan melakukan penambahbaikan semasa jendela perpindahan kedua yang akan dibuka pada Julai.
"Skuad depth jelas dilihat banyak kekurangan dan kami akan menilai semula keupayaan skuad kita semasa jendela perpindahan pertengahan musim.
"Lewat malam tadi (Selasa) kami menerima berita sedih iaitu kemalangan jalan raya selepas perlawanan melibatkan penyokong Perak FC yang meragut nyawa. Saya mewakili pihak pengurusan, barisan kejurulatihan dan para pemain menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan keluarga mangsa tabah menghadapi ujian besar ini.
"Sekali lagi, kami menghargai sokongan peminat setia Perak FC yang hadir setiap minggu untuk menyokong The Bos Gaurus," jelasnya.
Selepas ini Perak FC dijadualkan akan bertemu Kuala Lumpur City (KL City FC) di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram