Misi getir jumpa JDT, fans usik 4 pakej ramalan gol bolos Perak FC


  • Podium
  • Selasa, 04 Apr 2023

Ramai penyokong Perak FC tertanya-tanya taktikal Teong Kim dalam pertemuan menentang JDT nanti. — Facebook

UJIAN paling getir yang perlu diharungi Perak FC dalam saingan Liga Super 2023 akhirnya tiba apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) bakal melayani kunjungan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Perak, pada Selasa.

Skuad Seladang FC yang mengalami dua kekalahan menerusi dua aksi terakhir menentang Penang FC dan Pahang FC bakal diuji sehabis-habisnya oleh pasukan JDT.

Sebagai jaguh Liga Super dengan rekod tanpa kalah dan jumlah jaringan besar dalam setiap perlawanan, Perak FC sudah diramal akan mengalami kekalahan di laman sendiri.

Bukan mahu memperkecilkan kredibiliti pasukan bimbingan Datuk Lim Teong Kim, namun JDT sebagai pendahulu liga sudah berada di tahap berbeza.

Malah JDT dengan mentaliti kemenangan sudah kerap kali melaungkan amaran bahawa pasukan tersebut tidak akan menunjukkan belas kasihan kepada mana-mana lawan.

Manakan tidak, skuad Harimau Selatan membelasah dua pasukan di kelompok teratas liga seperti Sabah FC dan Selangor FC dengan jaringan 4-0.

Manakala dalam perlawanan sebelumnya, pasukan kendalian Estaban Solari itu menewaskan Kelantan FC 5-1 dan Negeri Sembilan FC 7-0.

Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC pula tewas 0-2 dan 0-3 kepada pasukan elit dari selatan tanah air itu.

Berdasarkan jumlah jaringan yang dikutip JDT setakat ini, ada penyokong Perak yang meramalkan skuad Harimau Selatan akan menikmati 'kenduri' gol menentang TBG kelak.

Bahkan usikan itu menawarkan ramalan pakej bolos kepada Perak berdasarkan jumlah catatan gol yang masih belum diperoleh skuad JDT.

"Masih ada empat pakej (gol bolos) lagi untuk Perak. Gol sebiji, gol 6 biji, gol 8 biji dan gol 9 biji.

"Gol 2,3,4,5,7 dah ada tuannya," usik seorang penyokong, Ariffin Ghaffar di laman Facebook.

339252123_250056594032749_9138318681232594043_n

Anak-anak buah Teong Kim menjalani sesi latihan menjelang aksi bertemu JDT. — Facebook/ Perak FC

"Banyak pemain JDT nak kena jaga...Fernando Forestieri, Juan Muniz, Arif Aiman, Bergson da Silva, Diogo dos Santo.

"Ini silap-silap Corbin Ong pun kerja dia duduk dalam kotak penalti Perak nanti," kata Arteta Ipoh pula.

Meskipun ada ramalan mengatakan nasib Perak FC akan lebih buruk berbanding pasukan Liga Super lain, tidak mustahil akan ada kejutan pada aksi tersebut.

Peledak berbisa JDT, Fernando Forestieri juga tidak memandang rendah pertemuan itu sebaliknya memandang tinggi kemampuan Perak yang dibarisi ramai pemain muda.

Tanpa memikirkan berapa pula Perak FC akan dibelasah kali ini, sama-sama kita nantikan perlawanan tersebut yang akan berlangsung pada 10 malam, Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram