"JIKA saya bercakap jujur, saya akan digantung, jadi saya tak boleh berterus-terang, saya kena tipu sikit."
Demikian reaksi Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim ketika diminta mengulas perlawanan antara Perak FC dan Johor Darul Takzim (JDT) pada Selasa.
Menurut Teong Kim, sejak dari awal lagi mereka sedar JDT adalah pasukan yang kuat untuk diatasi, namun dia kurang berpuas hati dengan cara anak-anak buahnya bermain.
"Pemain saya sudah diberitahu cara JDT bermain tapi masih ada kesilapan kecil yang dilakukan semasa perlawanan.
"Setiap gol JDT selain sepakan percuma, semuanya bermula daripada pergerakan yang sudah dimaklumkan kepada mereka supaya para pemain dapat counter balik.
"Tapi ia tidak berlaku sedemikian, jadi saya benar-benar kecewa sebabnya ia sudah boleh dibaca dari awal dan diberitahu kepada mereka.
"Saya fikir apa yang membezakan pasukan ini dengan JDT ialah kualiti," katanya dalam rakaman sidang media di YouTube TBG TV.
Teong Kim memberikan arahan kepada pemainnya di tepi padang ketika aksi menentang JDT pada Selasa. — Facebook/PerakFC
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kekalahan 0-5 yang dianggap lebih baik daripada jangkaan bolos dengan jaringan lebih besar, Teong Kim berkata, dia masih kurang berpuas hati dengan keputusan tersebut.
"Ramai menjangkakan Perak akan teruk dibelasah oleh JDT tapi bagi saya kekalahan 0-5 adalah jaringan yang besar. Malah kalau tewas 0-3 pun masih teruk. Saya tidak pernah kalah macam ini lebih-lebih lagi dalam liga domestik.
"Ini satu kekalahan yang sukar untuk ditelan...orang kata kita akan kalah dengan 10, 15 gol tapi ia tidak memberi kesan kepada saya, apa yang penting macam mana kita bermain," katanya.
Mengulas mengenai layangan kad kuning yang diterimanya, Teong Kim dalam nada kecewa berkata, dia hanya meminta fair game daripada pengadil.
"You sendiri boleh lihat perlawanan itu, macam mana saya boleh terima begini (kad kuning).
"Sebab itu kalau saya cerita benar, saya kena gantung. saya hanya minta fair game, itu sahaja.
Kapten Perak FC cuba menyekat pergerakan peledak berbisa JDT, Fernando Forestieri. — Facebook/ Perak FC
"Nanti kalau saya kata macam-macam, mereka akan denda, tapi kita perlu orang yang betul-betul buat sesuatu supaya kedua-dua dapat keadilan, itu sahaja permintaan kami.
"Saya akan lihat balik perlawanan ini dan kemungkinan akan membuat aduan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan keseluruhan perlawanan menentang JDT," katanya lagi.
Bekas penolong jurulatih Bayern Munich B-19 itu juga memberitahu pasukan kehilangan beberapa tonggak utama berikutan kecederaan yang dialami.
"Dan sekarang penyerang kami, Seo Seonung mengalami kecederaan dan kemungkinan besar, saya perlu menanggung kosnya. Kalau tengok, kecederaannya teruk," kata Teong Kim.
Dengan kekalahan itu menyaksikan Perak FC sekadar di tangga ke-10 dengan hanya mengutip lima mata.
JDT pula semakin mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas liga apabila mengumpul 21 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.
Skuad Harimau Selatan seterusnya akan melayan kunjungan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad ini manakala Perak berkunjung ke ibu kota bagi pertemuan menentang Kuala Lumpur City FC pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram