Selangor awasi kelibat 2 bekas bintang, kini sarung jersi skuad Jang


  • Podium
  • Selasa, 04 Apr 2023

Safuwan (kiri) merupakan antara tonggak baharu skuad Jang yang pernah beraksi bersama Selangor FC. — Facebook/Negeri Sembilan FC

SELANGOR FC dilihat perlu lebih berwaspada ketika melayani kunjungan Negeri Sembilan FC berikutan kemenangan memberangsangkan dalam 'derby' Lembah Klang.

Pertemuan minggu ketujuh Liga Super pada Selasa itu juga akan menyaksikan bekas dua pemain Gergasi Merah, Shahrel Fikri Fauzi dan Safuwan Baharuddin kembali berdepan skuad lama mereka.

Bagi pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe, kedua-dua mereka perlu diberikan perhatian dengan anak-anak buahnya perlu lebih berwaspada sepanjang permainan.

"Kedua-dua pemain pernah bermain dengan Selangor, mereka sudah pasti tahu mengenai kekuatan dan kelemahan kami.

"Apa pun, kami tetap fokus untuk dapatkan satu keputusan positif kerana Safuwan dan Shahrel Fikri memberi impak baik kepada Negeri Sembilan," katanya.

Begitupun, Cheng Hoe turut menegaskan ada ruang untuk anak buahnya meningkatkan prestasi di awal musim Liga Super, meskipun hanya tewas dan seri sekali setakat ini.

"Banyak kerja rumah perlu ditingkatkan lagi kerana musim masih panjang. Selepas enam perlawanan, masih banyak yang perlu ditingkatkan.

"Keyakinan pemain nampak makin meningkat. Apa pun taktikal dan fizikal perlu ditingkatkan lagi kerana setiap perlawanan agak berbeza," katanya.

Skuad Gergasi Merah ketika ini sedang berada di tangga keempat Liga Super dengan mata yang terikat bersama dua lagi pasukan di atas, Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC.

Bagi Negeri Sembilan FC pula, permulaan yang lewat awal musim lalu menyaksikan mereka hanya dapat mengumpul lapan mata yang meletakkan mereka di tangga ketujuh setakat ini.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu di Stadium MBPJ, Selangor dengan harapan untuk membawa pulang tiga mata berharga bagi meningkatkan kedudukan masing-masing. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram