PENYERANG Negeri Sembilan FC, Shahrel Fikri Mohd Fauzi akhirnya mampu menarik nafas lega selepas meraih jaringan sulungnya bersama skuad Jang.
Dia yang diturunkan NSFC ketika aksi Liga Super menewaskan Kelantan FC 4-2 pada Sabtu lalu, menjaringkan gol pada minit ke-76.
Lebih membanggakan lagi, pemain yang juga mesra disapa sebagai 'Eky' itu sekali lagi muncul sebagai wira dengan melakukan umpanan buat seorang lagi penyerang skuad Jang, Casagrande pada minit ke-89.
Prestasi itu pastinya melegakan ramai pihak, termasuk pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan yang melihat penyerang itu akan terus diberikan peranan penting sepanjang kempen Liga Super 2023.
"Shahrel merupakan seorang penyerang yang berkualiti dan boleh bergandingan dengan baik bersama Casagrande, jadi ada kemungkinan besar dia akan dimasukkan ke dalam kesebelasan utama selepas ini.
"Dia merupakan seorang yang akan melakukan larian ke dalam kotak penalti dan sangat baik setiap kali bersedia untuk menerima umpanan," katanya.
Jaringan Eky cukup penting dalam aksi berdepan Kelantan FC. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Dalam pertembungan itu, Negeri Sembilan FC mendapatkan jaringan pendahuluan menerusi rembatan deras Mahali Jasuli pada minit ke-16 sebelum sepakan penalti pemain Kelantan FC, Ismahel Akinade mengikat kedudukan.
Mereka kemudiannya kembali berada di hadapan hasil tandukan Herold Goulon pada minit ke-38 sebelum kedua-dua pasukan kembali terikat menerusi jaringan Ismahel.
Skuad Jang kemudiannya memastikan tiga mata dibawa pulang dari Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan hasil sumbangan daripada Shahrel dan Casagrande.
Jaringan Eky itu pastinya cukup melegakan dengan dia kali terakhir mendapatkan gol peribadi adalah pada Julai lalu yang mana dia ketika itu bersama Selangor FC.
Kemenangan itu meletakkan skuad Jang berada di tangga ketujuh selepas mengumpul lapan mata daripada lima perlawanan Liga Super. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram