Moon-sik akui Kelantan tertekan, 4 gol NSFC bawa perubahan besar


  • Podium
  • Ahad, 02 Apr 2023

Aksi pemain Kelantan FC ketika bertemu NSFC dalam saingan Liga Super pada Sabtu. — Facebook/ MFL

MEMANFAATKAN kelebihan bermain di laman sendiri selain setiap pemain dapat menyesuaikan diri dengan rentak permainan membawa impak kepada kemenangan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan aksi Liga Super pada Sabtu.

Ketua Jurulatih NSFC, K. Devan berkata, kemenangan besar empat gol oleh skuad ‘Hobin Jang Hobin’ ke atas Kelantan FC dalam satu perlawanan benar-benar menjadi perubahan besar buat pasukannya untuk meneruskan rentak kemenangan.

"Dalam keadaan padang basah, perlu beri penekanan kepada kawalan bola dan memang kita ada banyak peluang untuk menjaringkan gol tapi ini adalah kali pertama kita menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan.

"Saya memang cukup berpuas hati dengan (corak) permainan ini walaupun saya rasa kita boleh tambah jaringan lagi, tetapi setakat ini dapat tiga mata dan ia baik untuk pasukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

339055017_599933155125034_169613622858791103_n

NSFC meraih kemenangan kedua berturut-turut musim ini apabila mengalahkan Kelantan FC, 4-2. — Facebook/ MFL

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu, pasukan NSFC meraih kemenangan kedua berturut-turut musim ini apabila mengalahkan pasukan tercorot, Kelantan FC, 4-2.

Kemenangan itu meletakkan NSFC berada di tangga ketujuh liga selepas memungut lapan mata setakat ini.

Devan berkata, walaupun pasukan merekodkan dua kemenangan namun ia belum boleh meletakkan NSFC di zon selesa.

Sementara itu, pengendali Kelantan FC, Choi Moon-sik yang akur dengan kekalahan tersebut mengakui pasukannya berdepan tekanan ketika bertemu pasukan tuan rumah.

"Betul (perlawanan ini memberikan) tekanan tapi kita perlu segera pulih dan meningkatkan motivasi pemain untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Kelantan FC kini menghuni tangga ke-11 liga. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram