Tiada istilah penat dalam kamus hidup saya — Faisal Halim


  • Podium
  • Ahad, 02 Apr 2023

Faisal Halim meraikan jaringannya ketika bertemu KL City FC pada Jumaat. — Facebook/Selangor FC

KELETIHAN tiada dalam kamus hidup pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim.

Walaupun baru pulang mewakili skuad kebangsaan, Faisal masih mampu menjaringkan gol pertamanya untuk Selangor FC dalam perlawanan Derbi Lembah Klang menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada Jumaat.

Faisal yang berada dalam kesebelasan utama berjaya membantu skuad Gergasi Merah meraih tiga mata penuh dengan keputusan 3-1 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur.

Selepas tewas 0-4 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan sebelumnya, Selangor berjaya bangkit dengan cara yang mengagumkan.

KL City FC mendahului pada minit ke-24 menerusi pemain import, Tchetche Kipre tetapi Selangor menyamakan kedudukan lapan minit kemudian selepas penyerang Colombia, Ayron Del Valle menyempurnakan sepakan penalti.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Faisal menambah derita KL City dengan menyempurnakan sepakan penalti manakala Ayron sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-54 untuk memberikan kemenangan kepada Selangor.

Pemain-pemain Selangor meraikan jaringan Ayron. — Facebook/Selangor FC

Faisal, yang lebih dikenali sebagai Mickey, teruja menamatkan kemarau gol dalam Liga Super selepas menyempurnakan sepakan penalti.

“Kalau nak cakap penat, semua orang penat tapi ini kerja saya dan bagaimana saya menyara keluarga.

“Saya tak boleh berikan penat sebagai alasan. Saya gembira kerana semua pemain melakukan tugas yang terbaik untuk kemenangan ini.

“Berkat kerja keras rakan sepasukan, saya dapat menjaringkan gol pertama untuk Selangor.

“Saya gembira tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki dan saya akan terus bekerja keras untuk membantu pasukan," katanya.

Ketika ditanya sama ada gol pertamanya akan beri kelegaan, Faisal berkata, tekanan itu akan berterusan kerana jangkaan penyokong sentiasa meningkat.

"Saya fikir ini adalah situasi biasa untuk pemain bola sepak.

“Tekanan masih ada kerana penyokong mahu melihat saya menjaringkan lebih banyak gol selepas ini tetapi apa yang penting, selagi Selangor menang, saya gembira,” kata Faisal, yang kini akan membuat persiapan untuk perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan di Stadium Petaling Jaya, Selangor pada Selasa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram