Risau kena 'lauk' jumpa JDT, fans Perak harap LTK jangan buat kerja 'gila'


  • Podium
  • Isnin, 03 Apr 2023

Perak FC merekodkan sebanyak 10 bolos dalam enam perlawanan pertama Liga Super 2023. — Facebook/PerakFC

MEMASUKI musim Liga Super 2023, Perak FC yang dikendalikan ketua jurulatih baharu, Datuk Lim Teong Kim tampil beberapa perubahan besar dalam usahanya untuk mengembalikan zaman kegemilangan The Bos Gaurus (TBG).

Selain mempertaruhkan barisan pemain muda, Perak FC kali ini dilihat turut tampil dengan corak permainan lebih terbuka dan positif khususnya dalam merencana serangan dan memberikan tekanan awal di bahagian pertahanan pihak lawan.

Skuad Seladang dilihat konsisten menerapkan falsafah tersebut dalam setiap perlawanan yang diharungi meskipun keputusan tidak memihak kepada pasukan berkenaan.

Pada masa sama, gaya permainan cuba diamalkan itu juga didapati secara langsung menyebabkan gawang Perak FC lebih mudah dibolosi apabila TBG merekodkan sebanyak 10 bolos dalam enam perlawanan pertama.

Daripada kesemua perlawanan awal juga, Perak FC yang kini berada di kedudukan ke-10 liga hanya memperoleh lima mata hasil satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

perak fc

Corak permainan terbuka yang diterapkan Teong Kim ke atas Perak FC dilihat turut meningkatkan risiko pasukan untuk dibolosi. — Facebook/PenangFC

Dalam aksi terakhir Liga Super pada Jumaat lalu, skuad Seladang tewas kepada pasukan di kedudukan kesembilan liga, iaitu Penang FC jaringan 3-1.

Bagi perlawanan seterusnya, Perak FC bakal menyambut kedatangan pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) di gelanggang sendiri di Stadium Perak, Ipoh pada Selasa.

Dengan melihatkan kepada rekod jaringan skuad Harimau Selatan dalam empat perlawanan sebelum ini, penyokong Seladang melahirkan kerisauan terhadap kemungkinan TBG bakal menjadi mangsa terbaharu gergasi bola sepak negara itu.

Ini kerana juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu berjaya merekodkan sekurangnya kurangnya empat gol dalam empat perlawanan terakhir.

Apa yang lebih merisaukan, keputusan berkenaan direkodkan ketika JDT berhadapan dengan dua pasukan yang berada di kelompok empat teratas liga seperti Sabah FC dan Selangor FC yang kedua-duanya tewas dengan jaringan 4-0.

Manakala dalam perlawanan sebelumnya, skuad Harimau Selatan berjaya membelasah Kelantan FC 5-1 dan Negeri Sembilan FC 7-0.

perak fc 2

JDT berada di momentum terbaik apabila mampu menang bergaya dengan sekurang-kurangnya empat jaringan gol dalam empat perlawanan terakhir. — Facebook/JohorSoutherTigers

Disebabkan itu, penyokong TBG berpandangan Teong Kim seharusnya lebih praktikal dalam taktikalnya ketika perlawanan menentang skuad Harimau Selatan bagi mengelakkan Perak FC daripada dibelasah di gelanggang sendiri.

"Harap LTK(Teong Kim) jangan buat gila. Nak kekalkan high pressing macam biasa. Pakai je ultra-defensive 5-4-1," kata Abdul Aziz Abu Saed.

"High pressing susah, sebab kena ada disiplin tinggi. Lagi pulak kalau 1 vs 1, pemain Perak mesti kena punya. Lebih baik parking bus je. Lantak deme nak kata apa pun," ujar Labon Bola.

"Semua game nak main open play, berani sangat. Nak lawan JDT ni main bertahan sudah lah. Kalau nak main open play juga 8-0 la kena belasah nanti," kata Che' Andy. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram