PENYOKONG Sri Pahang FC pastinya teruja apabila akhirnya penyerang import, Lucas Silva bakal turun beraksi menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Sabtu.
Silva sebelum ini terpaksa diketepikan apabila berdepan masalah kecederaan ketika pramusim sebelum sepak mula Liga Malaysia dan perlu menjalani proses pemulihan sekurang-kurangnya satu bulan.
Namun, keadaannya kini semakin pulih dan sudah pun menjalani latihan bersama skuad pada Selasa lalu menyaksikan skuad kendalian Fandi Ahmad pastinya akan kembali menagih sentuhan bekas pemain Penang FC itu.
Dengan pengumuman rasmi dari Sri Pahang melalui laman rasmi Facebook, sudah tentu penantian penyokong Pahang untuk menyaksikan Silva bergandingan bersama Kpah akan berakhir.
Sri Pahang mengesahkan Silva akan turun menentang KDA FC pada Sabtu. — Facebook/Sri Pahang FC
Pengalaman dan rekod pada musim lalu bersama Penang FC antara menjadi keterujaan penyokong-penyokong Pahang untuk melihat Silva bermain menentang Kedah pada Sabtu.
"Tengok muka dan gaya, memang bakal mengancam kubu pasukan lain ini, hebat, tak sabar nak tengok," luah Mohd Farid.
"Habislah terkoyak jaring gol Kedah, baik tarik diri awal-awal," ujar Muhd Firdaus.
"Tak sempat nak duduk esok bersorak sahajalah kerjanya Lucas Silva pesta gol pula," kata Nur Mustaqim.
"Kedah masih ada masa,baik tarik diri lawan Pahang,dah tentu 3-0, sebab kalau main juga malam esok (Sabtu) mesti kena 5-0," jelas May May.
Silva ketika mewakili Penang FC pada musim lalu. — Facebook/Penang FC
Untuk info, Lucas Silva merupakan penyerang berbisa buat Penang FC musim lalu dan dibawa masuk ke Sri Pahang bagi saingan musim 2023.
Penyerang berusia 32 tahun itu menonjol bersama Penang FC selepas meledak 11 jaringan dalam 15 perlawanan musim lalu walaupun baru sahaja menyertai skuad Harimau Kumbang pada jendela perpindahan kedua liga.
Sebelum ini, nama De Paula meniti di bibir peminat Tok Gajah untuk menyaksikan dia bergandingan bersama Kpah kerana Pahang dilihat perlu mencari seorang 'target man' untuk mengumpan pertahanan lawan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram