KETUA jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya ketika menundukkan Kelantan United FC 2-1 pada aksi Liga Super pada Jumaat.
Pengendali kelahiran Croatia itu berkata, kemenangan berkenaan berjaya menaikkan semula semangat skuad Sang Penyu selepas tewas dua kali berturut-turut dalam perlawanan sebelum ini.
Jelasnya, tiga mata yang dikutip dalam pertembungan yang diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu amat berharga dalam memperbaiki kedudukan pasukan daripada tempat kesembilan ke tangga keenam liga dengan tujuh mata.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain saya untuk tiga mata malam ini (tadi).
Skuad Sang Penyu berjaya melakar kemenangan penting di laman sendiri. — Facebook/Terengganu FC
"Mungkin kita boleh jaringkan lebih banyak gol kerana kita cipta banyak peluang, tetapi anda dapat lihat setiap perlawanan sentiasa sama. Ia sukar dan saya berpuas hati dengan dua gol ini," katanya selepas perlawanan.
Pada perlawanan itu, Terengganu FC berjaya menewaskan skuad Kijang Hijau 2-1 hasil jaringan Liridon Krasniqi dan Jordan Mintah manakala gol Kelantan United disumbangkan OJ Porteria.
Bagaimanapun, Steinbruckner mengingatkan pemain supaya tidak terlalu teruja dengan kemenangan itu dan fokus kepada perlawanan menentang Kelantan FC Selasa depan.
Sementara itu, pengendali skuad Kijang Hijau, Tomas Trucha berkata, pasukannya akur dengan kekalahan tersebut dan fokus terhadap perlawanan menentang Kuching City FC Selasa depan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram