SELEPAS ditundukkan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini, Selangor FC kembali bangkit dengan kemenangan dalam aksi Derbi Lembah Klang.
Kemenangan 3-1 yang diraih ketika bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Cheras, Kuala Lumpur dalam perlawanan keenam Liga Super pada Jumaat itu pastinya cukup menggembirakan penyokong Gergasi Merah.
Ia adalah kerana pasukan Lembah Klang itu berpeluang mengukuhkan kedudukan mereka di tangga lima teratas meskipun musim 2023 baru sahaja membuka tirainya.
Namun, apa yang lebih membanggakan adalah kejayaan pemain sayap, Faisal Halim yang menjaringkan gol ketika perlawanan berbaki empat minit sebelum wisel separuh masa pertama ditiup.
Ia adalah kerana dia sebelum ini diberi tekanan oleh penyokong bola sepak tanah air yang mula mempersoalkan kemampuan pemain bertubuh kecil berkenaan sejak berpindah ketika jendela perpindahan lalu.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengikut setia Selangor FC tampil mempertahankan jaringan tersebut yang mana ia berpunca daripada sepakan penalti.
"Alhamdulillah, biarlah orang nak kata penalti ke apa, penalti tetap jaringan. Faisal akhirnya membuka akaun gol musim ini," kata Saiful Redzuan.
"Kan betul, akhirnya dapat juga Faisal Halim jaringkan gol," kata Mohd Firdaus Baharom.
Lebih membanggakan lagi, pemain sayap berusia 25 tahun itu meraikan jaringan itu dengan sambutan ala-ala bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo.
Musim ini, bekas pemain Terengganu FC itu masih tidak mengecewakan di hadapan pintu gol dengan empat bantuan gol yang sudah direkodkan selepas enam perlawanan.
Bagaimanapun, dengan dia mempunyai satu pencapaian membanggakan dari segi jaringan peribadi musim lalu, penyokong pastinya mengharapkan sesuatu daripada Faisal.
Dalam perlawanan itu, jaringan Faisal memastikan kemenangan dengan dua gol berjaya diperolehi penyerang kelahiran Colombia, Ayron del Valle. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram