Lepas benam Perak FC, Harimau Kumbang optimis curi mata di Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Pemain Penang akhirnya dapat mengukir senyuman selepas mencatatkan kemenangan pertama musim ini. — Facebook/Penang FC

KEMENANGAN pertama Penang FC selepas enam perlawanan dalam Liga Super 2023 setelah berjaya menewaskan Perak FC 3-1 menunjukkan petanda positif untuk perlawanan akan datang, kata penolong ketua jurulatih Manzoor Azwira Abd Wahid.

Katanya, selepas meraih kemenangan dalam perlawanan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Jumaat, Harimau Kumbang akan memberikan lebih tumpuan untuk menentang pihak lawan dalam pertembungan seterusnya.

"Selepas perlawanan malam ini, kami akan fokus pada perlawanan yang akan datang untuk bertemu dengan Kedah Darul Aman FC, satu pasukan yang kuat.

"Jadi, kami akan cuba mendapatkan mata di Kedah supaya perbezaan mata itu tidak berada pada jurang yang sangat besar," katanya selepas perlawanan itu.

Manzoor Azwira berkata, berbanding perlawanan yang lepas, prestasi anak buahnya kali ini menunjukkan peningkatan.

Pengendali berusia 46 tahun itu diberikan kepercayaan untuk mengendalikan pasukan Utara tanah air itu selepas ketua jurulatih pasukan, Chong Yee Fatt terpaksa direhatkan berikutan isu kesihatan.

Skuad Harimau Kumbang yang berada di tangga kelapan liga akan bertemu Sang Kenari yang berada di tangga keempat pada 5 April.

Sementara itu, Perak FC yang berada di tangga kesembilan akan berhadapan dengan Johor Darul Takzim (JDT) yang berada di tangga pertama pada 4 April di Stadium Ipoh, Perak. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram