[VIDEO] Telatah mencuit hati import Perak jadi tumpuan, fans harap tak terlalu lama 'diperam'


  • Podium
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Penyokong TBG pasti mula mengharapkan Teong Kim tidak terlalu lama menurunkan pemain berkenaan. — Facebook/Perak FC

KEMENANGAN sulung ketika berdepan Kuching City FC merupakan satu-satunya kegembiraan yang dapat dirasakan rata-rata penyokong Perak FC selepas enam perlawanan Liga Super.

Manakan tidak, mereka yang ketika ini berada di kedudukan ke-10 liga pasti memerlukan perubahan sekiranya mahu membawa pulang kegembiraan sebelum tirai musim dilabuhkan.

Namun, melihat kepada situasi terkini, ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim seperti perlu melakukan 1,001 perubahan baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Lebih merisaukan lagi, skuad The Bos Gaurus (TBG) ketika ini sedang dibelenggu masalah disiplin apabila mereka sudah mengumpul tiga kad merah.

Perkara itu menjadi antara sebab prestasi pasukan itu merosot meskipun ada yang berasakan persembahan pasukan mula bertambah baik perlawanan demi perlawanan.

Salah seorang pemain yang pernah diberikan arahan keluar padang ialah pemain pertahanan import, Sunday Afolabi ketika aksi pertama Liga Super 2023.

338872250_771338887684267_8223079515512684165_n

Sunday (kiri) ketika diturunkan semasa skuad Perak FC II berdepan KL City Extension pada Khamis. Facebook/Perak FC

Perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC itu sepatutnya menjadi medan buat Perak FC bangkit selepas terpaksa beraksi di divisyen kedua bola sepak tempatan.

Sejak layangan kad merah itu, pertahanan kelahiran Nigeria itu masih dianggap salah seorang tonggak pasukan, lebih-lebih lagi dengan struktur fizikalnya terus didambakan.

Namun, ketika kemenangan ke atas Kuching City FC 16 Mac lalu, dia terpaksa dikeluarkan dengan ada yang mengatakan dia mengalami kecederaan ringan.

Ia dibuktikan apabila pihak kejurulatihan mengambil keputusan untuk tidak menurunkannya dalam dua perlawanan Liga Super berdepan Sri Pahang FC dan Penang FC.

Tanda tanya mengenai kehilangannya itu terjawab apabila kelibatnya kelihatan ketika aksi Piala MFL skuad Bawah 22 (B-22) Perak FC berdepan Kuala Lumpur (KL) City Extension pada Khamis.

Tetapi, apa yang menarik dalam perlawanan itu adalah ketika Sunday dilihat dengan tenang berseloroh bersama pihak lawan.

Rakaman memaparkan telatah lucu pemain import Perak FC itu. Facebook/Perak the YOB

Dalam satu klip yang dikongsikan penyokong laman penyokong Perak the YOB, pemain berusia 23 tahun itu dilihat membantu seorang pemain ketika dia sedang menerima rawatan.

"Terbaiklah Sunday," tulis penyokong berkenaan berserta video rakaman berdurasi 26 saat terbabit.

Selain mencuit hati rata-rata pengikut setia skuad TBG, ada di antara mereka yang mula mengharapkan Teong KIm tidak menunggu lama untuk menurunkannya semula bersama skuad senior.

"Sunday ni gaya permainannya cukup baik sekiranya dia diturunkan sebagai pemain tengah kerana dia boleh mengawal posisi tersebut," kata Mohd Rizal Zakaria.

"Sunday ini memang terbaik, saya harapkan segala yang terbaik buatnya," kata Atiqulzazman Ayie.

Pemain bertubuh sasa itu sebelum ini dibawa masuk ke Perak FC dari sebuah kelab kecil berpangkalan di Slovakia dengan dia tidak perlu menunggu lama untuk dijadikan tonggak pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram