[VIDEO] Enggan terima kekalahan, casual The Bos Gaurus gagal kawal nafsu marah di bulan Ramadan mulia


  • Podium
  • Sabtu, 01 Apr 2023

Tangkap layar memaparkan pertelingkahan yang berlaku di antara casual Perak dan beberapa penyokong lain selepas aksi Liga Super bertemu Penang FC pada Jumaat.

PENANG FC akhirnya menarik nafas lega selepas mencatatkan kemenangan pertama dalam Liga Super apabila membenam Perak FC 3-1 pada Jumaat.

Dua jaringan daripada Soony Saad dan Nik Akif Syahiran pada separuh masa pertama cukup penting dengan penyokong turut memberi pujian melambung kepada gaya permainan pasukan.

Namun, walaupun ada cubaan pihak lawan untuk merapatkan jurang menerusi jaringan Seo Seonung, anak-anak buah Manzoor Azwira Abd Wahid terus cemerlang dengan mendapatkan gol ketiga menerusi Giovane Gomes.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Kumbang melonjak ke tangga kelapan dengan lima mata sudah dapat dikumpulkan selepas enam perlawanan.

Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong pasukan Utara tanah air berkenaan cukup gembira akan kemenangan itu apabila terus membanjiri ruangan komen media sosial Penang FC.

Namun, apa yang kurang menyenangkan adalah selepas terdapatnya laporan daripada orang ramai yang mengatakan segelintir penyokong pihak lawan dengan sengaja melakukan kekacauan.

Berdasarkan perkongsian, golongan yang lebih dikenali sebagai 'casual' itu melakukan kekecohan sehingga mengganggu ketenteraman orang ramai.

Lebih teruk lagi, dalam satu video tular, kelihatan suasana riuh di perkarangan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang sehingga memaksa pihak polis masuk campur untuk meleraikan keadaan.

Ia semestinya menjadi sebuah catatan kurang manis dalam sejarah Liga Super 2023 dengan casual skuad The Bos Gaurus (TBG) sebelum ini juga pernah terlibat dengan kekacauan di Stadium Perak, Ipoh.

Menurut beberapa perkongsian lain, terdapat juga luahan kekecewaan penyokong Penang FC yang mendakwa kenderaan dinaiki mereka dibaling objek keras dipercayai batu.

Hal itu pastinya memberi impak besar terhadap reputasi skuad TBG yang ketika ini sudahpun berada dalam tekanan selepas prestasi kurang meyakinkan dalam liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram