Asyik layan lubuk ikan, Akhil Hayy kongsi pengalaman misteri memancing sampai 4 pagi


  • Hobi
  • Sabtu, 01 Apr 2023

USTAZ Akhil mengambil ruang untuk menjalankan aktiviti keagamaan pada bulan mulia ini. —instagram/ustaz_akhilhayy

PENYANYI dan pendakwah bebas, Ustaz Akhil Hayy sememangnya dikenali ramai kerana merupakan salah seorang anggota kumpulan rock di Malaysia sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan bidang itu.

Akhil aktif dalam bidang muzik pada 1986 hingga 1990 dan berjaya menghasilkan tiga album bersama D'Riyadh. Antara lagu yang diminati ramai ialah Melodi Cinta Lama dan Hanya Ketenangan.

Kumpulan D'Riyadh bagaimanapun mula berpecah pada 1993 apabila ada ahlinya yang jatuh sakit dan ingin membawa haluan masing-masing. Namun begitu, niat Akhil yang berhajat membuat album solo tidak kesampaian dan akhirnya mula berhijrah ke kampung halaman dan mendekati masjid semula.

Selain aktif memberikan ceramah agama di seluruh Malaysia, Akhil mempunyai beberapa album nasyid antaranya Di Bawah Satu Cahaya (2007), Nasyid Legenda II (2008) dan Kembara Sufi (2007).

WhatsApp Image 2023-03-31 at 12.46.06 (1)

Akhil dikenali dengan lagu nasyid dan ceramah keagamaan.— Instagram/ustaz_akhilhayy

Dengan kehadiran bulan puasa, pastinya ramai artis atau selebriti mengambil ruang untuk fokus kepada ibadah selain melakukan aktiviti yang bersesuaian dengan bulan mulia ini termasuk Akhil sendiri.

"Ramadan ini sudah pasti mempunyai banyak undangan ceramah, nyanyian lagu ketuhanan, perkongsian ilmu, pengalaman mengenai Ramadan dan ada pembikinan single terbaru yang sedang dalam proses.

"Masa lapang yang saya suka ialah tafakur iaitu merenungi tanda kebesaran ALLAH seperti melihat kepada kehijauan alam sekitar dan mencari ketenangan. Ia merupakan cara yang sesuai untuk kita mendamaikan jiwa dengan kehidupan yang penuh dengan pelbagai onak duri.

"Sekarang saya lebih kepada bermusafir dan melihat ciptaan ALLAH. Namun, sebelum meningkat usia saya juga minat mendaki,berkhemah dan memancing tapi sekarang semuanya perlu dikurangkan sedikit," kataya kepada Majoriti.

Di samping itu, anak kelahiran Gopeng, Perak ini juga menceritakan pengalaman yang pernah dilalui bersama dua sahabat semasa dijemput untuk memberikan ceramah di masjid selepas solat Maghrib kepada penduduk kampung.

Ceritanya lagi, sudah menjadi kebiasaan membawa kelengkapan pancing dalam kereta kerana akan melakukan aktiviti memancing selepas ceramah di kawasan tertentu.

Menurutnya lagi, mereka mengambil keputusan memancing dan kereta diletakkan di kawasan berhampiran sambil mendengar radio.

"Saya pernah pergi memancing selepas selesai ceramah waktu Isyak di sebuah kampung dan lubuk ikan yang dituju dicadangkan penduduk kampung sendiri dan sudah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang tersebut.

"Kami memancing tanpa menyedari waktu Subuh semakin hampir iaitu sekitar pukul 4 pagi. Masa itu saya dan sahabat belum balik kerana gembira ikan banyak sangat, namun tiba-tiba salah seorang sahabat menukar radio kepada alunan ayat al-Quran, sudah pasti saya pelik.

"Selepas kejadian itu, kami pun mengemas kelengkapan pancing dan terus balik kerana menurut cerita kawan yang memandu kereta itu, dia ternampak makhluk atau entiti yang sangat tinggi dan gelap berdiri ketika kami sedang memancing," kongsinya.

Pengalaman tersebut diingati sampai sekarang walaupun bukan dia yang melihat kelibat makhluk ghaib di bumi ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram