PERTEMBUNGAN Liga Super antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC pastinya menarik perhatian peminat setia bola sepak tanah air.
Manakan tidak, kedua-dua pasukan ketika ini masih berada dalam rentak terbaik apabila masih tidak mencatatkan sebarang kekalahan.
Tambahan pula, persembahan mereka jarang mengecewakan sehingga ramai pihak mula mengatakan trofi Liga Super bakal menjadi milik antara dua kelab itu.
Namun, di sebalik kemeriahan yang semakin dirasai, terdapat beberapa kegusaran mula diluahkan barisan kejurulatihan dua pasukan teratas Liga Super itu.
Ia berpunca daripada isu kecederaan yang dialami sebahagian tonggak, termasuk pemain sayap Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi.
Dia yang sebelum ini melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan terpaksa disisihkan di samping seorang lagi pemain JDT, Endrick dos Santos bagi perlawanan persahabatan kedua negara menentang Hong Kong.
Arif Aiman (kiri) dilaporkan mengalami kecederaan ketika sesi latihan berpusat skuad kebangsaan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagi segelintir pengikut setia sukan tempatan, tindakan itu disebabkan pihak kejurulatihan juara Liga Super itu tidak mahu kehilangan pemain sayap berkenaan ketika bertemu Sabah FC.
Tetapi, andaian tidak berasas itu seperti lenyap apabila kelibat Arif tidak kelihatan ketika sesi latihan pasukan menjelang aksi itu.
Kini, persoalan mula diajukan kepada pengendali JDT, Esteban Solari mengenai pendekatan yang bakal diambil bagi menembusi benteng pertahanan skuad Sang Badak.
Menerusi tinjauan di media sosial, rata-rata penyokong pasukan berharap agar penyerang berbisa kelahiran Brazil, Bergson da Silva dapat kembali beraksi di atas padang.
Dia difahamkan terpaksa disisihkan buat beberapa minggu selepas mengalami kecederaan ketika aksi bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC Februari lalu.
Jadi, tidak timbul sebarang persoalan apabila penyokong mahu pemenang Kasut Emas Liga Super dua kali berturut-turut itu kembali pada Jumaat.
Ia diikuti dengan beberapa cadangan untuk menyaksikannya diturunkan di samping seorang lagi penyerang, Diogo Luis Santo yang ketika ini menggantikan Bergson.
Mampukah Diogo meneruskan prestasi membanggakannya berdepan Sabah FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Walaupun pendekatan itu dilihat bercanggah dengan formasi Solari, ia pasti cukup menarik untuk melihat gandingan dua pemain kelahiran Brazil berkenaan.
Namun, bagi penganalisis bola sepak tempatan, Zuraimi Zukri, terdapat kemungkinan bahawa pengendali kelahiran Argentina itu tidak akan menurunkan duo berbisa itu.
"Walaupun dah sihat, saya rasa JDT tak akan turunkan Arif, nanti apa kata orang. Mana tahu boleh tengok combo Diogo dan Bergson untuk kali pertama.
"Kalau benda ni jadi, ia perkara yang saya minat nak tonton. Benda ni mungkin susah nak berlaku kerana JDT tak akan suka-suka ubah sistem," katanya.
Tambahnya lagi, Solari juga dikatakan lebih berminat untuk menurunkan pemain pertahanan kiri, Juan Muniz atau Corbin Ong untuk menggalas tanggungjawab menggantikan Arif.
Hal ini kerana beberapa pemain sayap lain, termasuk Akhyar Rashid masih belum berada di tahap terbaik dari segi minit permainan di peringkat kelab.
"Jadi, merujuk kepada perkara di atas, siapakah pemain yang akan menggantikan Arif Aiman? Pertama, JDT mungkin bermain dengan sistem lain seperti 3-5-2 menggunakan pemain pertahanan kiri berbanding winger.
"Kedua, Ramadhan (Saifullah) atau Akhyar dan untuk pilihan ketiga, Arif pulih dari kecederaan dan bermain," tambah Zuraimi lagi.
Oleh itu, melihat kepada lambakan pemain yang dimiliki skuad Harimau Selatan, kejutan pastinya akan dibuat Solari jika dia mahu meraih tiga mata penuh dalam aksi itu atau apakah penyokong akan hampa lagi malam ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram