Caion adalah cabaran buat kami — Brendan Gan


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Caion dilihat sebagai salah satu ancaman buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/KL City FC

KAPTEN Selangor FC, Brendan Gan serta rakan-rakannya dilihat cukup bersemangat menjelang aksi Derbi Lembah Klang menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat.

Pertembungan Liga Super yang bakal berlangsung di Stadium Cheras, KL itu dijangka berlangsung dengan hangat memandangkan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 3-3 dalam perlawanan musim lalu.

Tambahan pula, skuad Gergasi Merah dan Warga Kota pasti berharap untuk menambah baik prestasi selepas mencatatkan keputusan kurang memberangsangkan sebelum aksi persahabatan antarabangsa.

Bagi Selangor FC, kekalahan memalukan 0-4 di tangan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) menjadi motivasi besar buat mereka dalam aksi tersebut.

339255015_640278831262754_5417023859994868637_n

Brendan Gan mahu Selangor FC melupakan kekalahan di tangan JDT tempoh hari. — Facebook/Selangor FC

Oleh itu, menurut Brendan, perlawanan berkenaan merupakan platform terbaik, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mahu kembali ke landasan.

"Kedua-dua pasukan pastinya cukup bersemangat untuk bangkit semula selepas satu prestasi kurang memberangsangkan sebelum ini, jadi tidak ada jurang besar antara kami," katanya.

Tambah pemain berusia 34 tahun itu, dua pemain yang perlu diberi perhatian dalam aksi itu ialah penyerang import, Herlison Caion serta bekas rakan sepasukannya di Perak FA, Kenny Pallraj.

"Saya yakin bahawa Herlison mahu menunjukkan kemampuan terbaiknya kepada kami selain menunjukkan kebolehan sepenuhnya buat pihak kejurulatihan KL City FC

"Saya juga tahu akan kualiti Kenny, stamina dan kebolehannya cukup bagus dengan dia berani untuk mempertahankan kubu pasukan," kata Brendan Gan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram