PASUKAN di tangga ketiga Liga Super 2023, Kedah Darul Aman (KDA) FC turun dengan misi sukar untuk mengutip tiga mata bertemu skuad Tok Gajah Stadium Darul Makmur, Pahang pada Sabtu.
Pengendalinya, Nafuzi Zain berkata, persiapan rapi sedang dilakukan bagi memberi saingan sengit kepada kualiti barisan pemain pihak lawan yang dilihat semakin baik pada musim ini selepas belum tewas dalam lima perlawanan liga.
"Kita ke tempat lawan memanglah matlamat nak menang dan untuk dapatkan tiga mata, tetapi kita tahu bukan tugas yang senang. Untuk jadi pasukan yang kuat dan bagus, kita kena lalui (perlawanan sukar).
"Pahang sekarang tidak pernah kalah lagi di peringkat liga musim ini dan rekodnya mencatatkan keputusan seri dengan pasukan yang berada di kelompok atas seperti Selangor dan Sabah," katanya.
Nafuzi berkata demikian ketika diminta mengulas aksi bertemu skuad kendalian Fandi Ahmad itu pada Sabtu dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam liga.
Jelas Nafuzi, kesilapan mudah yang dilakukan sebelum ini perlu dielakkan pasukannya semasa bertemu pasukan tuan rumah jika mahu mencetak nama sebagai pemenang pada perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, keserasian anak-anak buahnya dilihat semakin baik selepas mengharungi lima perlawanan liga dan dia juga mahu pasukan terus fokus dengan falsafah permainan yang diterapkan.
"Kalau kita fokus dengan cara kita, saya rasa dengan sesiapa saja pun kita boleh bersaing. Jadi, kita kena cuba elakkan kesilapan mudah (seperti yang dilakukan sebelum ini)," ujarnya lagi.
Tambahnya, KDA FC yang kini berada di tangga ketiga liga super selepas lima perlawanan dilihat berada di landasan tepat dan semua pemain perlu memastikan momentum pasukan sentiasa berada pada tahap baik.
Ketika diminta untuk memberi ulasan mengenai prestasi jentera serangan pasukan, ketua jurulatih kelahiran Kelantan itu tidak mahu terlalu memberi penekanan ke atas perkara berkenaan.
Ia berikutan beberapa komen yang diberikan ke atas dua penyerang utama skuad, Willian Lira dan Jonathan Balotelli apabila mereka masih gagal mendapatkan rentak terbaik di atas padang.
"Tiga mata penting, saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, yang penting itu sahaja. Kalau penyerang menjaringkan gol tapi kita tewas tidak ada gunanya juga," katanya. — Stadium Astro
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram