'Sentiasa di hati saya', bekas legenda tidak pernah lupakan fans Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Kesebelasan utama skuad Kedah pada musim 2015. — Facebook/Media KFA

"SAYA mahu mengakhiri karier bermain bola sepak bersama Kedah."

Itulah kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh bekas pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sandro da Silva semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 di antara skuad Hijau Kuning dan Selangor FC.

Kali terakhir kelibatnya di dalam bola sepak apabila bermain bersama Sarawak United pada musim 2021 sebelum meninggalkan negara ini dengan penuh kecewa akibat digugurkan oleh pihak pengurusan Sarawak United.

Sandro tidak lagi asing dalam suasana bola sepak Liga Malaysia (Liga M) sejak 2015 apabila mewakili pasukan KDA FC, Selangor FC dan Sarawak United.

Sandro

Sandro ketika beraksi bersama KDA FC pada 2015.

Terkenal dengan teknik rembatan jarak jauh serta pakar sepakan percuma ini menjadikan Sandro sebagai salah satu pemain import berharga pada era kegemilangannya.

Pada awal pembabitannya bersama KDA FC, Sandro mengecapi pelbagai kejayaan termasuk juara Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017, serta Piala Sumbangsih pada 2017 sepanjang era kejurulatihan Tan Cheng Hoe.

Pada 2019, Sandro bersama Selangor terus konsisten selaku salah seorang pemain tengah menyerang sepanjang tempoh dua musim bersama kelab tersebut.

Manakala bersama Sarawak United dia berjaya membawa kelab tersebut beraksi di Liga Super musim lalu selepas muncul naib juara di Premier 2021.

WhatsApp Image 2023-03-31 at 6.20.32 AM

Tangkap layar InstaStory Sandro.

Walaupun sudah hampir enam tahun meninggalkan Kedah, Sandro masih tidak boleh lupakan skuad Hijau Kuning yang banyak mencipta kejayaan bersamanya sepanjang beraksi di dalam Liga Malaysia.

Luahan pemain berusia 39 tahun itu dikongsikan di dalam InstaStory dengan memberikan reaksi terhadap video yang dimuat naik oleh penyokong.

"Sentiasa di hati saya, terima kasih semua penyokong Kedah," katanya.

Sandro  Sarawak

Sandro ketika beraksi bersama Sarawak United pada 2021. Facebook/Sarawak United

Menurut laman sesawang Transfermarkt, Sandro kini bergelar ejen bebas dan tidak mewakili mana-mana kelab selepas kecewa meninggalkan Malaysia.

Sebelum ini, Sandro pernah membuat kenyataan akan mengakhiri kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Ia akibat terlalu kecewa kerana mendakwa ditipu pihak pengurusan Sarawak United yang mengugurkannya pada saat-saat akhir disebabkan slot pemain import telah penuh ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram