PERLAWANAN tumpuan untuk aksi keenam Liga Super 2023 pastinya merupakan pertembungan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC.
Kedua-dua pasukan yang sedang berada dalam prestasi cemerlang pastinya tidak mahu kehilangan rentak itu, lebih-lebih lagi selepas memberi laluan kepada perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa.
Aksi yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat itu pastinya dinanti-nantikan penyokong bola sepak tempatan.
Ini kerana mereka pasti berasakan bahawa pertembungan terbabit akan menguji kemampuan kedua-dua pasukan, baik dari segi fizikal mahupun mental.
Namun, di sebalik kemeriahan yang sedang dirasakan itu, terdapat sedikit perkhabaran kurang menyenangkan daripada kem JDT dan Sabah FC.
Bagi skuad Sang Badak, laporan mengatakan bahawa mereka bakal kehilangan khidmat empat pemain tonggak, iaitu Saddil Ramdani, Telmo Castanheira, Jailton Paraiba serta Gary Steven Robbat.
Selain Gary, kesemua mereka sudah menunjukkan kemampuan masing-masing dengan memainkan peranan cukup baik dalam posisi tersendiri.
Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong pasukan Borneo itu mula gusar sekiranya tonggak skuad tidak dapat beraksi dalam satu perlawanan yang cukup penting.
Tetapi, baru-baru ini, sebuah media tempatan, Sabah News Today melaporkan pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee enggan membuat keputusan secara terburu-buru.
Masalah kecergasan memaksa Jacob Njoku berada bersama skuad simpanan Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Ia termasuk dalam menurunkan kesebelasan utama terbaik meskipun ada cadangan yang mahu melihat import baharu pasukan, Njoku Jacob untuk beraksi.
"Njoku Jacob masih lagi belum menunjukkan prestasi sebenarnya mungkin kerana kurang diturunkan, kemungkinan dia akan bermain dalam Piala MFL.
“Dari situ saya akan menilai prestasi Jacob, kita percaya apabila dia (Jacob) diberi peluang minit permainan prestasinya pasti akan bertambah baik," katanya.
Setakat lima perlawanan Liga Super, bekas pemain Kelantan United FC tersebut hanya diturunkan selama 21 minit ketika aksi menentang Penang FC di Stadium Likas, Sabah.
Dia difahamkan masih bergelut dengan isu kecederaan yang mana memaksa pihak kejurulatihan untuk meletakkan kepercayaan penuh ke atas penyerang tunggal ketika ini, Darren Lok.
Mengulas lanjut, Kim Swee juga difahamkan sedang melakukan penilaian terhadap beberapa pemain yang dipanggil untuk mewakili negara dalam aksi persahabatan.
“Kita tahu ada pemain yang bermain sebanyak dua perlawanan, ada juga bermain hanya satu perlawanan. Ini juga harus diambil kira dan bagi saya mereka merupakan pemain yang sangat penting,” katanya.
Sabah FC sedang menduduki tangga kedua liga selepas mengumpul 13 mata di samping muncul sebagai salah sebuah pasukan dengan jentera serangan terbaik. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram