PERLAWANAN di antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Sabah FC dijangka menjadi tumpuan utama penyokong bola sepak pada Jumaat.
Ia kerana perlawanan itu akan menentukan siapa bakal menjadi pendahulu liga selepas JDT dan Sabah hanya dibezakan dengan dua mata dan diekori rapat oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC) serta Selangor FC.
Walaupun JDT dilihat mempunyai kelebihan kerana bakal beraksi di halaman sendiri, Stadium Sultan Ibrahim, ia masih ada beberapa kekurangan.
Kenyataan daripada pihak pengurusan JDT berkenaan Arif Aiman dan Endrick. — Facebook/JDT
Ia kerana sebelum ini, pihak pengurusan JDT melaporkan beberapa pemain mengalami kecederaan semasa berada di dalam kem Harimau Malaya.
Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon terpaksa menggugurkan nama Arif Aiman dan Endrick dos Santos bagi aksi kedua persahabatan menentang Hong Kong pada Selasa.
Manakala penjaga gol, Syihan Hazmi pula mengalami kecederaan di kepala yang menyebabkan pendarahan akibat pelanggaran dengan pemain lawan ketika aksi persahabatan menentang Hong Kong.
Syihan ketika menerima rawatan akibat pelanggaran dengan pemain Hong Kong.
Ternyata kehilangan ketiga-tiga tonggak utama JDT ini mula menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong Harimau Selatan.
"Dengar kata Syihan tak dapat diturunkan selain Arif Aiman menentang Sabah Jumaat ini, dia akan direhatkan sementara menunggu luka di kepala sembuh sepenuhnya," kata Ali Non.
"Semoga pintu gol JDT tak akan dibolos pihak lawan," luah Saiful Bahari.
"Bagi aku tak ada Arif Aiman ini macam kurang padu, Syihan tak ada mungkin tak apa sebab jarang-jarang kena serang," ujar Syahrul Zaman.
"Satu gol pun dah cukup, janji JDT tak keciciran mata," jelas Zahari Arahman.
Pasukan Sabah menjalani latihan pada Selasa. — Facebook/Sabah FC
Kehilangan tiga tonggak utama JDT ini akan memberikan kelebihan buat pasukan Sabah yang dalam misi memburu tiga mata penuh untuk dibawa pulang.
Malah bagi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pula mendapat tonik tambahan apabila pemain tengah, Telmo Castanheira akhirnya kembali bersama pasukan selepas tiga minggu disisihkan akibat kecederaan.
Perlawanan lain yang bakal menjadi tumpuan penyokong adalah derbi 'Klang Valley' di antara Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram