'Kami adalah pencipta sejarah', TMJ ada misi tersendiri bertemu Sabah di SSI


  • Podium
  • Rabu, 29 Mac 2023

TMJ ada misi tersendiri buat Harimau Selatan. — Facebook/ JDT

SELESAI sudah jadual perlawanan antarabangsa buat pasukan kebangsaan apabila berjaya menewaskan Hong Kong dengan keputusan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Ini bermaksud pemain-pemain akan pulang ke pasukan masing-masing untuk menghadapi saingan Liga Super yang akan kembali pada Jumaat.

Penyokong bola sepak pasti tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan di antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Sabah FC yang akan menentukan siapa pendahulu liga.

JDT dan Sabah hanya dibezakan dengan dua mata dan diekori rapat oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC) serta Selangor FC.

TMJ

Kenyataan dari TMJ. — Facebook/ JDT

Menjelang pertemuan menentang Sabah, Tengku Mahkota Johor (TMJ) meluahkan beliau ada misi tersendiri yang ingin dilakarkan bersama skuad Harimau Selatan itu.

"Jumpa di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat keluarga JDT ku. Misi belum selesai untuk mencipta sejarah mendominasi satu dekad.

"Perjalanan masih jauh. Demi Johor, demi kelab kami, demi keluarga biru merah putih kami. Kami adalah pencipta sejarah dan peneraju dalam setiap aspek.

"Ini adalah satu fakta dan bukan cerita dongeng atau halusinasi. Jumpa Jumaat ini. Hidup Johor, Muafakat Itu Berkat. Allah Peliharakan Sultan," kata TMJ menerusi laman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers.

Sebelum ini JDT memanggil dua pemain dalam skuad kebangsaan iaitu Arif Aiman dan Endrick dos Santos yang mengalami kecederaan semasa bersama Harimau Malaya.

Malah bagi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pula, mereka ibarat mendapat tonik tambahan apabila pemain tengah, Telmo Castanheira akhirnya kembali bersama pasukan selepas tiga minggu disisihkan akibat kecederaan.

Perlawanan lain yang bakal menjadi tumpuan penyokong adalah derbi 'Klang Valley' di antara Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram