Sekeping foto, tiga cerita berbeza


  • Podium
  • Rabu, 29 Mac 2023

Antara ketua jurulatih yang mengikuti kursus lesen pro di Osaka, Jepun yang tamat tahun lalu.

LAPTOP Cabuk menemui pembaca sekali lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

SEKEPING gambar bernilai seribu perkataan. Apabila ditinjau, ternyata banyak benarnya hujah itu apabila dikaitkan dengan ketua-ketua jurulatih dalam cabaran Liga Super musim ini.

Sekeping foto yang dimaksudkan ialah himpunan jurulatih tempatan yang mengikuti kursus lesen pro Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang turut membabitkan sandaran selama dua minggu di kelab-kelab Liga Jepun (Liga-J) di Osaka.

Sekurang-kurangnya sembilan jurulatih daripada kelompok berkenaan terbabit dengan pasukan-pasukan Liga Super musim ini seperti yang termaktub dalam syarat pelesenan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

WhatsApp Image 2023-03-29 at 15.56.56

Sebahagian yang mahu menjadi jurulatih menganggap lesen pro yang diperoleh sebagai sesuatu yang sangat bernilai.

Daripada Azzmi Aziz (PDRM FC), K. Devan (Negeri Sembilan FC), Chong Yee Fatt (Penang FC), Nidzam Jamil (penolong jurulatih Selangor FC), hinggalah kepada Dollah Salleh (pengurus Sri Pahang FC), semuanya memainkan peranan penting bersama pasukan masing-masing.

Tidak ketinggalan juga Nafuzi Zain (Kedah FC), Datuk Ong Kim Swee (Sabah FC), Sulaiman Hussein dan Irfan Bakti Abu Salim (kedua-duanya bersama Kuching City FC), pasukan-pasukan Liga Super menyandarkan harapan terhadap mereka bagi peningkatan kelab masing-masing.

Turut serta dalam kelompok 26 jurulatih itu ialah bekas ketua jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora, bekas ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, bekas ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto dan bekas ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak.

Berlesenkan kursus kejurulatihan pro yang sama, nasib mereka, bagaimanapun, sama-sekali berbeza, dengan Mora, Mehmet, Kurniawan dan Aidil Sharin sudah meninggalkan negara ini dan menggalas tugas baru.

Untitled design - 1

Nafuzi mengemudi skuad KDA FC musim ini. — Facebook

Dalam kalangan jurulatih tempatan itu pula, ada yang mensyukuri rahmat diberi tanggungjawab ketua jurulatih pasukan Liga Super buat julung-julung kalinya, ada yang menangguhkan persaraan gara-garanya di samping ada yang bernasib baik berpindah kelab dan dinaikkan pangkat.

Sebagai latar belakang, kursus berkenaan yang dikendalikan oleh dua juruarah, Flemming Serritslev dari Denmark dan Ketua Unit Akar Umbi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), David Abela, yang dimulakan pada 2019 beberapa kali tertangguh kerana pandemik Covid-19.

Lazimnya tamat dalam tempoh dua tahun, kursus lesen pro berkenaan – dua minggu setiap kali mereka dihimpunkan -- hanya selesai pada 2022 dan tidak hairanlah ada antara pesertanya yang menganggap ia antara kursus terpanjang di dunia.

Uniknya kursus berkenaan ialah ia julung-julung kalinya diadakan di dalam negara disebabkan larangan perjalanan dalam tempoh itu berbanding kursus seumpamanya yang diadakan di negara serantau seperti Vietnam dan Indonesia pada masa lalu.

WhatsApp Image 2023-03-29 at 15.56.57

Antara ketua jurulatih yang mengikuti kursus lesen pro di Osaka, Jepun yang tamat tahun lalu.

Bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan, misalnya, mendapat lesen pro yang bertaraf diploma kejurulatihan daripada kursus yang dijalani di Brazil pada 1994 bersama Datuk Yunus Alif, Mahadi Yusof, Fisol Razak dan Allahyarham Fuzzeimi Ibrahim.

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) pula cenderung menghantar jurulatihnya mengikuti kursus seumpamanya di Sepanyol.

Mengapa tidak ramai bekas pemain menyertainya?

“Bagi kumpulan ini, setiap seorang daripada kami perlu membayar RM66,500. Kumpulan selepas kami dikenakan RM65,000 seorang.

“Kami boleh membuat bayaran itu sehingga empat ansuran dan ia adalah daripada wang simpanan kami sendiri, bukan daripada kelab,” cerita Azzmi kepada Laptop Cabuk.

Irfan_Bakti_1536115214

Irfan sudah menangguhkan persaraannya beberapa kali. — Facebook

Sebagai perbandingan, calon jurulatih lesen pro yang menghadiri kursus di Bangladesh dikenakan bayaran cuma RM40,000 seorang tetapi modulnya dikatakan sedikit berbeza.

Disebabkan tempohnya yang panjang dan kosnya yang tinggi, jurulatih rata-rata menganggap lesen itu sebagai sesuatu yang sangat bernilai sehingga sanggup mengetepikan kepentingan peribadi.

Irfan Bakti, yang telah mengabdikan diri selaku ketua jurulatih lebih dua dekad sejak kali pertama menjawat tugas itu bersama Negeri Sembilan pada musim 1999, menganggap dirinya beruntung kerana masih berpeluang mendapat lesen pro pada penghujung kerjaya.

“Ini adalah tahun terakhir saya mengendalikan sebuah pasukan dalam Liga Super.

“Keputusan untuk bersara sebenarnya sudah saya tangguhkan beberapa kali tapi lesen pro ini menjadi dorongan untuk saya tangguhkannya setahun lagi,” kata jurulatih berusia 72 tahun itu yang mengemudi Kuching City FC sejak musim 2021.

“Mungkin saya tidak akan bersara terus. Kalau ada tawaran sebagai TD (pengarah teknikal), saya akan pertimbangkan," katanya.

1992144

Azzmi masih mahu pasukannya bersaing dengan baik meskipun status mereka sebagai pasukan kerdil. Facebook/PDRM FC

Berbeza sedikit ceritanya dengan Azzmi, yang menganggap dirinya ‘orang baru’ dalam kalangan jurulatih skuad Liga Super.

“Ini adalah kontrak pertama saya sebagai ketua jurulatih PDRM FC selepas 30 tahun,” katanya merujuk kepada penyertaannya selaku pemain tengah PDRM dalam divisyen kedua, Liga Semi Pro 1993.

“Saya baru 10 tahun dalam bidang kejurulatihan ini, banyak lagi perlu belajar. Saya nak ucapkan terima kasih kepada pengurusan PDRM FC yang percaya dan berani beri peluang kepada saya yang kali pertama nak memimpin pasukan Liga Super ini,” kata jurulatih berusia 48 tahun itu.

Tuah turut memihak bekas ketua jurulatih Perak, Yee Fatt, yang asalnya dilantik sebagai penolong kepada ketua jurulatih Penang FC, Thomas Trucha, bagi musim 2021.

Semusim kemudian apabila Trucha ditamatkan kontrak selepas hanya enam perlawanan dalam musim 2022 yang menyaksikan skuad Harimau Kumbang menempa tiga keputusan seri dan tiga kekalahan, ia menjadi rezeki Yee Fatt untuk menggalas tanggungjawab besar.

Demikianlah nasib jurulatih yang tiada ketentuan, disanjung ketika pasukan sedang melambung dan dicerca apabila pasukan terhumban ke lembah hina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram