Formula 'rahsia' Pan-gon bantu Mickey raih gol sulung


  • Podium
  • Khamis, 30 Mac 2023

Faisal (tengah) dilihat cukup gembira selepas menjaringkan gol ketika berdepan Hong Kong Selasa lalu.

JARINGAN pada minit ke-41 daripada pemain sayap negara, Faisal Halim ketika aksi persahabatan Kelas 1 berdepan Hong Kong pada Selasa pastinya cukup berharga buatnya.

Manakan tidak, dia yang sebelum ini cukup mudah merobek pintu gol lawan terpaksa menunggu kira-kira tujuh perlawanan sebelum berpeluang mencetak gol peribadi.

Namun, dalam satu perkongsian selepas perlawanan, Faisal secara berseloroh mengatakan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon merupakan watak penting di sebalik kejayaan itu.

"Coach Kim bergurau dengan saya apabila dia mengatakan kalau saya tidak jaringkan gol, saya perlu mengubah warna rambut saya.

"Tetapi, akhirnya, saya berjaya dapatkan jaringan yang sudah lama saya nantikan dan dia juga sangat gembira dengan semangat yang saya tunjukkan sepanjang perlawanan," katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu turut berterima kasih kepada kesemua pihak yang tidak henti-henti memberi sokongan buatnya dalam menempuhi tempoh sukar terbabit.

"Saya mahu memberikan penghargaan kepada keluarga saya, terutamanya isteri yang berterusan mendoakan saya kerana dia tahu betapa saya mahu dapatkan gol itu.

"Kemudian, saya juga ada rakan sepasukan yang cukup baik. Mereka sering memberikan saya sokongan, terutamanya Akhyar (Rashid) yang mengatakan bahawa gol saya akan tiba," katanya lagi.

Selain Faisal, Akhyar turut meraih satu jaringan peribadi ketika aksi berdepan Hong Kong, sekali gus membantu skuad kebangsaan berada di ranking dunia dengan lebih baik.

Faisal bagaimanapun pastinya tidak mahu terus berada dalam zon selesa apabila dia akan bersama-sama Selangor FC bertemu seteru setempat, Kuala Lumpur (KL) City FC dalam perlawanan keenam Liga Super pada Jumaat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram