Andai Arif Aiman ke Jepun, nama Faisal Halim dicanang pindah ke JDT


  • Podium
  • Rabu, 29 Mac 2023

Faisal (kiri) ketika beraksi bersama skuad negara menentang Hong Kong pada Selasa. — Facebook/FAM

DUA aksi perlawanan persahabatan membabitkan pasukan negara pada minggu ini menyaksikan tonggak Selangor FC, Faisal Halim menjadi antara pemain mendapat perhatian utama penyokong bola sepak tanah air.

Pemain berusia 25 tahun itu dilihat memberikan sumbangan yang cukup signifikan dalam setiap serangan skuad Harimau Malaya terutamanya melalui gerakannya yang lincah dan sukar dibaca pihak lawan.

Malah boleh dikatakan anak kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang itu merupakan titik ancaman utama skuad kebangsaan dalam kedua-dua aksi tersebut.

Kemuncak kepada prestasi baiknya itu boleh dilihat apabila pemain sayap kiri itu berjaya menjaringkan gol pertamanya pada tahun ini ketika perlawanan menentang Hong Kong pada Selasa.

Dalam menghasilkan jaringan tersebut, Faisal dengan tenang menggelecek seorang pertahanan lawan di bahagian tengah kotak penalti sebelum melakukan rembatan deras menewaskan penjaga gawang Hong Kong.

Sebelum itu, dia juga terlibat untuk membuat satu bantuan gol bagi membolehkan Akhyar Rashid menjaringkan gol pertama pasukan negara pada minit awal perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Kehebatan yang ditonjolkan Faisal itu menyebabkan penyokong bola sepak negara sekaan terlupa sebentar kekecewaan mereka apabila tidak dapat menyaksikan kelibat pemain muda sensasi negara, Arif Aiman dalam kedua-dua perlawanan persahabatan itu ekoran isu kecederaan.

fh1

Barisan skuad negara ketika menentang Hong Kong pada Selasa. — Facebook/FAM

"Apa yang dijangka itulah yang berlaku. Satu bantuan gol dan satu jaringan. Kualiti premium daripada Faisal apabila dia menyarung jersi negara.

"Dia patut dapat lebih dari minggu antarabangsa ini iaitu tiga hingga empat gol tapi apa yang diberi olehnya sudah lebih dari cukup," ujar pemerhati bola sepak, Zuraimi Zukri.

Sementara itu, ada antara penyokong juga mula mencadangkan agar pemilik JDT, Tengku Mahkota Johor (TMJ) mempertimbangkan mengambil Faisal bagi membarisi pasukan Harimau Selatan.

Malah, mereka turut berpendapat kualiti ditonjolkan bekas tonggak Terengganu FC itu berupaya untuk mengisi peranan dimainkan Arif sekiranya desas-desus mengenai perpindahannya ke luar negara benar-benar berlaku.

"Harap TMJ bawa masuk JDT untuk tingkatkan prestasi liga domestik," ujar Abr Zul.

"Kalau Arif aiman jadi pergi Jepun, aku rasa JDT sanggup tebus kontrak faisal. Tak nampak pemain lain lagi yang sama level dua orang ni. Mereka memang another level," kata Mohd Azli Bin Jaafar.

Baru-baru ini, Arif yang baru berusia 20 tahun mula dikaitkan dengan perpindahan bersama kelab luar negara antaranya di Korea Selatan dan Jepun.

Media Jepun pada minggu lalu turut melaporkan bahawa kelincahan pemain sayap kanan JDT itu telah menarik perhatian salah sebuah pasukan utama Liga Jepun iaitu Kashiwa Reysol.

WhatsApp Image 2023-03-29 at 3.29.55 PM

Faisal dan Arif masing-masing mempunyai rekod prestasi memberangsangkan di peringkat domestik sejak musim lepas. — Facebook

Dalam pada itu, kedua-dua pemain ini sememangnya menunjukkan rekod memberangsangkan di kelab masing-masing pada musim ini.

Dalam lima aksi pertama, Arif berjaya merekodkan tiga jaringan gol manakala untuk Faisal pula, dia menyumbang empat bantuan gol meskipun tidak masih tidak mencatatkan sebarang jaringan.

Aksi konsisten juga ditunjukkan oleh kedua-dua pemain pada musim lepas dengan Arif merekodkan lapan jaringan dan 20 bantuan gol daripada 38 penampilan bersama JDT dalam kesemua kejohanan.

Sementara itu, Faisal yang boleh beraksi di kedua-dua bahagian sayap pula berjaya mencatatkan 11 gol dan 18 bantuan gol daripada 31 perlawanan ketika menyarung jersi Terengganu FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram