Akui minit permainan antara punca, Akhyar ada cara kekal cergas


  • Podium
  • Rabu, 29 Mac 2023

Muhammad Akhyar memiliki rahsia penjagaan kesihatan tersendiri bagi memastikan kecergasan fizikal.

PEMAIN sayap negara Muhammad Akhyar Abdul Rashid amat berpuas hati selepas meledak dua gol dalam dua kemenangan penting skuad Harimau Malaya pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada bulan ini.

Muhammad Akhyar berkata ,rasa puas itu disebabkan beliau jarang mendapat peluang beraksi sekali gus tidak berpeluang menampilkan potensi sebenar yang dimiliki.

"Bagi saya untuk dua perlawanan ini, disebabkan saya jarang dapat main (jadi) saya puas hati sangat kerana dua gol dalam dua perlawanan. Untuk perlawanan berikutnya saya akan buat lebih baik, saya tak rasa bermain dengan sangat baik dalam dua perlawanan ini tetapi saya cuba buat apa yang terdaya.

"Saya terharu, terima kasih kepada keseluruhan pasukan kerana berikan dorongan walaupun saya jarang dapat bermain, itu lah yang saya boleh buat, saya bagi 100 peratus dalam permainan," katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong di Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Pada aksi tersebut, pemain Johor Darul Takzim (JDT) berusia 24 tahun itu mencetak nama sebagai seorang daripada penjaring selain Mohamad Faisal Abdul Halim untuk membantu Malaysia merakam kemenangan 2-0.

Bekas pemain Kedah itu sebelum ini muncul wira pasukan negara yang menewaskan Turkmenistan 1-0 selepas meledak gol kemenangan di venue sama, Khamis lepas.

Mengulas mengenai tahap kecergasannya serta keupayaan mengekalkan rentak setiap kali dipanggil menyarung jersi negara di sebalik jarang beraksi, Muhammad Akhyar berkata antara rahsianya ialah menjaga makan dan minum, selain beliau mengakui minit permainan faktor beliau tidak begitu cergas.

"Saya jaga makan dan minum, saya tidak cukup cergas disebabkan tidak cukup minit (permainan) tetapi saya cuba buat yang bagus dalam latihan,” katanya.

Beliau berkata situasi dihadapinya ketika ini sama sekali tidak mematahkan semangatnya.

Muhammad Akhyar belum berjaya menembusi kesebelasan utama JDT dalam lima perlawanan Liga Super 2023 setakat ini dengan hanya diturunkan sebagai pemain gantian dalam dua kemenangan Harimau Selatan masing-masing ke atas Negeri Sembilan dan Kelantan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram