Kurang beri impak, ada 3 sebab Fayadh gagal pikat Pan-gon, 2 pemain dipetik jadi saingan


  • Podium
  • Khamis, 30 Mac 2023

Fayadh dan Kalamullah Al-Hafiz merupakan dua pemain KDA FC yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong. — Facebook

PEMAIN sayap Kedah Darul Aman FC, Fayadh Zulkifili boleh dianggap memulakan musim 2023 dengan positif selepas namanya tersenarai untuk menyertai skuad Harimau Malaya bagi dua aksi perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Mendapat peluang beraksi semula bersama skuad kebangsaan di bawah kejurulatihan Kim Pan-gon, pemain lincah itu mengharungi laluan sukar untuk merebut tempat dalam senarai kesebelasan utama dalam perlawanan berkenaan.

Dalam aksi menentang Turkmenistan dan Hong Kong baru-baru ini, Fayadh yang bermain di posisi sayap kiri masuk sebagai pemain gantian, masing-masing bagi menggantikan Akhyar Rashid dan Faisal Halim.

fayadh supersub

Fayadh merupakan supersub terbaik Liga Super 2022. — Transfermarkt.com

Namun, sebagai pemain yang sering digunakan sebagai gantian di kelab Sang Kenari, Fayadh dilihat kurang memberikan impak sama kepada skuad Harimau Malaya yang disertai semula selepas kali pertama membuat debut Fayadh pada 10 Oktober 2021 semasa menentang Uzbekistan.

Pada musim lalu, Fayadh merupakan pemain Liga Super yang paling kerap dijadikan sebagai supersub, dengan empat jaringan menerusi 17 penampilan.

Bahkan rekodnya itu mengatasi dua bintang Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid yang masing-masing mengumpul dua gol.

Justeru, ada segelintir penyokong yang berpendapat Fayadh tidak berjaya memikat Pan-gon dan dikhuatiri akan digugurkan pada panggilan kebangsaan akan datang.

Berikut tiga sebab mengapa Fayadh dirasakan kurang menyerlah bersama Harimau Malaya kali ini.

338038419_776698063707400_8921026354473845265_n

Fayadh masih gugup ketika beraksi atas padang. — Facebook HarimauMalaya

1. Kurang yakin atas padang

Fayadh yang mengumpul 32 minit permainan dalam dua aksi berkenaan dilihat masih gugup dan kurang berkeyakinan di atas padang.

Ia tidak boleh dijadikan alasan memandangkan Fayadh memiliki pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa ketika bersama KDA FC dalam kempen Piala AFC 2022 yang menyaksikan dia meledak empat gol buat Sang Kenari.

Jadi sepatutnya, dalam aksi persahabatan seperti itu, Fayadh perlu profesional dan mengetepikan rasa gugup untuk mempamerkan aksi terbaik bagi memenangi hati Pan-gon.

338200223_888744572184724_4881033751134139894_n

Tahap permainan Fayadh agak ketinggalan berbanding pemain lain. — Facebook/ FAM

2. Level tidak setanding pemain lain

Tidak dinafikan skuad Harimau Malaya yang dikumpulkan Pan-gon kali ini membariskan pemain-pemain yang memiliki kualiti individu tersendiri.

Paling jelas, kehadiran semula pemain JDT dalam skuad kebangsaan menambah kualiti untuk membentuk pasukan yang lebih mantap.

Mereka lebih mudah menyerap tekanan atas padang dan mempamerkan kualiti bola sepak asas di tahap yang berbeza berbanding pemain kelab lain.

Dari situ, ada sesetengah pemain termasuk Fayadh dilihat kurang setanding dengan mereka dari segi tahap permainan.

1408857

Syafik pernah menyertai skuad Malaysia di bawah jurulatih, Brad Maloney untuk sesi perlawanan kelayakan ke pusingan akhir Piala Asia 2022. — Facebook

3. Eksperimen Pan-gon

Jika Fayadh tidak tersenarai pada panggilan kebangsaan akan datang, ini mungkin kerana jurulatih dari Korea Selatan itu mahu terus bereksperimen dengan sentuhan pemain lain.

Tempoh kira-kira setahun mengendalikan Harimau Malaya belum cukup untuk Pan-gon menguji pemain yang berpotensi menjadi senjatanya di skuad kebangsaan.

Tidak mustahil selepas ini, Pan-gon akan memanggil rakan sepasukan Fayadh di KDA FC, Al-Hafiz Harun yang bermain di posisi sayap kanan.

Pemain berusia 28 tahun itu nampak lebih menyerlah berbanding Fayadh dengan satu gol peribadi setakat musim ini.

Boleh jadi juga, Pan-gon mahu menguji pemain sayap Terengganu FC, Syafik Ismail yang turut menyerlah di pentas Liga Super 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram