Main tanpa rasa takut formula Azam Azih pamer aksi terbaik bersama Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 26 Mac 2023

Skuad kebangsaan kendalian Pan-gon menjalani latihan menjelang aksi menentang Hong Kong. — Facebook/ FAM

PEMAIN tengah, Muhamad Nor Azam Abdul Azih, tidak berdepan masalah untuk memberikan persembahan terbaik jika diturunkan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa ini.

Walaupun masih dibelenggu rasa sakit susulan kecederaan lutut yang dialami sebelum ini, pemain Sri Pahang FC berusia 28 tahun itu berkata, situasi tersebut langsung tidak menjejaskan tahap kecergasannya bersama skuad Harimau Malaya.

Katanya, dia berlatih dan bermain bersama Sri Pahang FC musim ini seperti biasa tanpa menghiraukan rasa sakit dan merancang melakukan yang sama untuk membantu skuad bimbingan Kim Pan-gon meraih kemenangan ke atas Hong Kong.

"Keadaan saya baik cuma rasa sakit-sakit (tidak selesa) tetapi boleh bermain sebab saya (sudah) terapkan keberanian itu di Pahang iaitu bermain tanpa rasa takut.

"Kesakitan yang saya rasa sekarang memang tak macam dulu, sekarang lebih baik dan saya lebihkan latihan di gimnasium untuk proses pemulihan dan hilangkan rasa sakit,” katanya ketika ditemui di hotel pasukan di Johor Bahru pada Ahad.

337256716_1433295337475322_483436641901126782_n

Kecederaan lutut yang dialami tidak menjejaskan tahap kecergasan Azam bersama skuad Harimau Malaya. — Facebook/ FAM

Pada masa sama, Azam mengakui prestasinya semakin meningkat sejak menjalani latihan bersama pasukan negara.

Kali terakhir Azam menyarung jersi pasukan negara ialah ketika Malaysia menewaskan Thailand menerusi penentuan penalti pada kejohanan Piala Raja Thailand, September lalu, namun dia dilayangkan kad merah pada aksi tersebut.

Dia yang sebelum ini menjadi antara pemain yang sering membarisi kesebelasan utama pasukan, turut berada dalam skuad yang mencipta sejarah layak ke Piala Asia 2023 pada Jun tahun lepas.

Sementara itu, Azam berkata, kehadiran pemain Johor Darul Takzim (JDT) dalam kem latihan pusat kali ini menambah semangat pasukan.

"Mereka sudah bermain di peringkat lebih tinggi dan mampu bantu pemain lain untuk beraksi lebih baik, apabila masuk dalam pasukan negara kita kena bersatu hati,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram