Janggal tengok Feroz jadi 'winger' ganti Arif, fans desak Pan-gon guna khidmat Safawi


  • Podium
  • Isnin, 27 Mac 2023

Aksi Safawi bersama Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF 2022. — Agensi

HARIMAU Malaya melepaskan tonggak sayap lincah, Arif Aiman Hanafi dan bintang naturalisasi baharu, Endrick Dos Santos dari kem latihan susulan kecederaan yang dialami kedua-dua pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu.

Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon memaklumkan dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick sah tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa, 28 Mac 2023.

Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini dan tiada penambahan pemain baharu.

Tanpa kehadiran Arif Aiman, ini menyaksikan pemain sayap kiri, Faisal Halim mungkin perlu bermain di sebelah kanan seperti mana ketika persembahannya menentang skuad Turkmenistan pada 23 Mac lalu.

1995480

Endrick (kiri) dan Arif Aiman disahkan mengalami kecederaan. — Facebook/ FAM

Akhyar Rashid pula akan bermain di posisi regularnya iaitu sayap kiri bagi membantu memperkuatkan jentera serangan skuad kebangsaan.

Berdasarkan senarai panggilan skuad kebangsaan sebelum ini, hanya Faisal dan Arif Aiman yang bermain di posisi sayap kanan manakala Akhyar dan Fayadh Zulkifli (sayap kiri).

Nama pemain sayap lain termasuk Safawi Rasid yang beraksi di Liga Thailand ketika ini bersama Ratchaburi FC, pula dimasukkan dalam Senarai Bersedia.

Dalam situasi ketiadaan tonggak sayap, ramai penyokong Harimau Malaya mahu khidmat Safawi dimanfaatkan oleh Pan-gon dalam aksi menentang Hong Kong nanti, meskipun tiada penambahan pemain baharu akan dibuat pasukan kebangsaan.

337247709_542405431368577_4571927939998391583_n

Safawi mengikuti perkembangan perlawanan Malaysia menentang Turkmenistan pada 23 Mac lalu. — Instagram

Tambahan lagi, melihat kepada pemain gantian tempoh hari, tempat Faisal diganti oleh Feroz Baharuddin yang perlu beraksi di posisi sayap berbanding posisi pertahanan yang menjadi 'makanannya' di kelab JDT.

Situasi itu mungkin agak kekok untuk Feroz lantaran sering bermain di bek pertahanan bersama Harimau Selatan. Justeru, kehadiran Safawi tentunya akan memberi dinamik berbeza kepada skuad Harimau Malaya kali ini.

Lebih-lebih lagi, Safawi bukanlah pemain asing dalam skuad kebangsaan dan antara yang membantu Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 selain merupakan kapten pasukan ketika kempen Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2022.

feroz pawi

Feroz masuk menggantikan Faisal yang bermain di sayap kanan ketika Malaysia menentang Turkmenistan pada 23 Mac lalu. — Transfermarkt

Malah, dia mengikuti rapat perkembangan anak-anak buah Pan-gon ketika Malaysia menentang Turkmenistan yang menyaksikan skuad kebangsaan menang 1-0.

Justeru, jika Safawi dipanggil sekarang, tidak sukar untuk pemain berusia 26 tahun itu mencari keserasian dengan skuad sedia ada ketika ini memandangkan dia sudah terbiasa dengan taktikal Pan-gon.

Meskipun hanya perlawanan persahabatan, tentunya khidmat Safawi amat diharapkan untuk menentang Hong Kong yang dianggap pasukan kuat kerana berada satu anak tangga di bawah kedudukan Malaysia sebelum ini iaitu 146.

Ranking terbaharu Malaysia ialah ke-140 namun belum dikemas kini Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram