Arif Aiman, Endrick 'injured', dilepaskan dari kem Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 26 Mac 2023

Endrick (kiri) dan Arif Aiman disahkan mengalami kecederaan. — Facebook/ FAM

KEHILANGAN tonggak sayap sensasi Harimau Malaya, Arif Aiman Hanafi terjawab selepas Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon mengesahkan dia dilepaskan keluar dari kem latihan kerana mengalami kecederaan.

Turut menerima nasib sama ialah rakan sepasukannya di kelab Johor Darul Takzim (JDT), Endrick Dos Santos yang juga tidak dapat beraksi dalam aksi menentang Hong Kong pada 28 Mac ini.

Pan-gon dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua pemain JDT itu dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas ujian yang dibuat mengesahkan kedua-dua itu mengalami kecederaan.

Dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick sah tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa, 28 Mac 2023.

"Pegawai dan pasukan perubatan FAM sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemainnya dan bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Endrick ​​dari kem latihan pusat ini supaya mereka dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini," katanya

Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini dan tiada penambahan pemain baharu.

Terdahulu, ketiadaan Arif Aiman menjadi misteri selepas dia tidak bersama pasukan negara yang menjalani latihan di pusat latihan JDT di Padang Mawar di Pasir Gudang pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram