SEBAGAI bintang bola sepak dunia, kehebatan pemain penyerang, Sadio Mane di atas padang merupakan sesuatu sememangnya tidak boleh dinafikan.
Namun begitu, pemain itu yang kini beraksi bersama kelab gergasi Jerman, Bayern Munich menarik perhatian warganet baru-baru ini menerusi satu gambar yang memaparkan keakrabannya bersama al-Quran.
Foto tersebut dikongsikan oleh rakan pasukannya yang juga penyerang legenda pasukan kebangsaan Jerman, Thomas Muller di instagramnya pada Ahad.
Dalam gambar swafoto dikongsikan Muller itu, Mane yang juga bekas pemain Liverpool dilihat sedang membaca al-Quran ketika di dalam pesawat bersama rombongan pemain Bayern Munich yang lain.
Difahamkan, pasukan itu sedang dalam perjalanan yang memakan tempoh masa sejam dari bandar raya Munich ke Leverkusen untuk ke perlawanan menentang Bayer Leverkusen pada Isnin.
Sikap ditunjukkan Mane, 30 tahun yang juga Pemain Terbaik Afrika 2022 itu menerima komen positif daripada kalangan warganet.
"Mane membaca al-Quran, pemandangan yang sangat menakjubkan," ujar rawanalhermi.
"Mane bersama al-Quran, satu penghormatan sangat besar kepadanya," tulis sillah_hazard_jr.
"Ini adalah gambar terbaik untuk tahun ini," kata papa_sulayman.
Mane yang berasal daripada Senegal merupakan adalah anak kepada seorang imam di sebuah masjid di desa kecil, Bambali, iaitu tempat dia dibesarkan.
Ketika beraksi bersama Liverpool, Mane membantu pasukan tersebut untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Perdana Inggeris. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram