Jeneral tengah Everton dedah tak pernah ponteng puasa, anggap Salah pemain contoh


  • Podium
  • Sabtu, 25 Mac 2023

Doucoure mengutamakan ibadah berpuasa berbanding bola sepak. — Agensi

TONGGAK tengah Everton, Abdoulaye Doucoure berpendapat Liga Perdana Inggeris adalah liga terbaik untuk pemain beragama Islam kerana mewujudkan persekitaran yang mesra buat mereka sepanjang bulan Ramadan.

Walaupun sesetengah orang percaya berpuasa boleh memberikan cabaran sukar kepada atlet, Doucoure kekal melakukan ibadah sebagai umat Islam dan bermain bola sepak seperti biasa di England.

"Saya berasa sangat yakin beraksi di Liga Perdana Inggeris. Saya dan pemain Muslim lain rasa diterima.

"Di Liga Perdana, anda bebas melakukan apa sahaja yang sesuai, mereka tidak akan melakukan apa-apa yang bertentangan dengan kepercayaan anda dan ini sangat hebat," katanya kepada BBC Sport.

PA-64375955

Doucoure bersyukur kerana dapat menjalani ibadah puasa dengan baik. — Agensi

Dilahirkan di Paris dan ibu bapanya warga Mali, Doucoure berhijrah ke England pada 2016 sebelum menyertai Everton pada 2019.

Dia yang menjalani Ramadan bersama rakan sepasukan, Asmir Begovic, Idrissa Gana Gueye dan Amadou Onana mengutamakan ibadah berpuasa berbanding bola sepak.

"Saya suka bulan Ramadan walaupun ada cabaran untuk bermain bola sepak dalam keadaan cuaca panas.

"Namun saya bersyukur kerana dapat menjalani ibadah ini dengan baik dan tidak pernah mengalami masalah," katanya.

Tambah Doucoure, dia tidak pernah ponteng berpuasa dan akan ke masjid apabila berkesempatan jika ada masa lapang.

"Saya puasa setiap hari. Saya akan mengambil juadah sarapan semasa bersahur untuk membantu saya kekal bertenaga sepanjang hari," katanya.

b772e818c4167a8b0f5b35ef5077f72198af5f96

Doucoure mengambil juadah sarapan pagi semasa bersahur untuk membantu dirinya kekal bertenaga sepanjang hari. — Agensi

Menurutnya, dia belajar bagaimana menjadi seorang Muslim yang baik.

"Agama saya adalah perkara paling penting dalam hidup. Saya dahulukan agama, kemudian barulah kerjaya. Anda boleh melakukan kedua-duanya bersama-sama dan saya gembira dengan kehidupan seperti ini.

"Dalam bola sepak dan kehidupan, anda akan melalui kesukaran dan kekecewaan. Kadang-kadang saya dapat bermain namun ada masanya tidak kerana cedera.

"Saya bersyukur tuhan memberikan kekuatan untuk saya mengharungi semua ini," katanya.

Untitled-design-42-3

Mohamed Salah disifatkan pemain beragama Islam yang memberi contoh yang baik. — Agensi

Bagi Doucoure, Mohamed Salah memberikan contoh teladan Muslim yang sempurna di Liverpool dan England.

"Sebagai pemain bola sepak, anda sentiasa mahu menjadi contoh dan Mohamed Salah adalah salah seorang daripada mereka.

"Dia bermain dengan baik di kelabnya, jadi ramai menyukainya, tetapi mereka juga belajar mengenai agamanya iaitu Islam. Dia adalah contoh yang baik," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram