'Entah-entah dah sampai Jepun', fans berteka-teki kehilangan Arif Aiman dalam Harimau Malaya


  • Podium
  • Ahad, 26 Mac 2023

Kelibat Arif Aiman tidak kelihatan dalam sesi latihan bersama skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

'MANA pula Arif Aiman pergi?'

Itulah luahan penyokong bola sepak apabila kelibat pemain berusia 20 tahun dilihat hilang dari kem pasukan kebangsaan pada Sabtu.

Penyokong mula sedar apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuat naik gambar latihan skuad Harimau Malaya menerusi laman rasmi Facebook mereka.

Sebelum ini, ketika perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Khamis.

Pemain-pemain Harimau Malaya. — Facebook/FAM

Arif Aiman turut tidak tersenarai dalam kesebelasan utama yang mana Faisal Halim mengisi kekosongan yang ditinggalkannya itu.

Malah di bangku simpanan pula nama pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT) ini turut tercicir daripada pilihan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon.

Sebelum ini Arif Aiman dikaitkan dengan perpindahan ke Jepun apabila sebuah kelab di negara matahari terbit itu berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Kashiwa Reysol

Arif Aiman berjaya menarik perhatian Kashiwa Reysol yang beraksi dalam Liga utama Jepun.

Di ruangan media sosial pula, penyokong memberikan pelbagai reaksi tentang kehilangan Arif Aiman itu.

"Pan-gon tengah cari pemain-pemain baru untuk dicuba, jadi Pan-gon dah tahu Arif Aiman memang dah secure position dia, cuma nak cuba pemain lain yg boleh menggantikan posisi sedia ada," ujar Shahkt Shah.

"Semoga Arif Aiman ada lawan dengan Hong Kong, sebab nak tengok dia bergabung dengan Akhyar," jelas Mohd Fitri.

"Arif Aiman ini key player yang dah memang serasi dengan Matt Davies, nama Arif Aiman pasti dalam skuad Piala Asia, sekarang ini nak cari ramuan untuk pengganti tempat Arif Aiman sahaja," kata Amir Hafiz.

"Entah-entah Arif Aiman dah sampai Jepun, sebab itu tiba-tiba hilang dari radar," luah Mok' Syiekh.

Harimau Malaya kembali turun beraksi bertemu Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram