Lee Tuck pasang impian ke Piala Dunia bersama Malaysia, dedah perancangan masa depan


  • Podium
  • Ahad, 26 Mac 2023

Lee Tuck mula berhijrah ketika berumur 21 tahun sebelum menjadi salah seorang pemain Harimau Malaya.

HARRY Kane bukanlah satu-satunya penyerang kelahiran England yang memasang impian untuk mengetuai negaranya ke Piala Dunia 2026.

Kane yang menamatkan kejohanan Piala Dunia 2018 sebagai penjaring terbanyak bakal berusia 33 tahun pada edisi 2026 yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, dia bukanlah satu-satunya pemain yang memasang impian untuk bermain dalam Piala Dunia 2026.

Lebih 12,000 kilometer dari dunia bola sepak England, Lee Tuck berani memikirkan perkara yang sama untuk melangkah ke kejohanan itu bersama Malaysia.

Tidak terlalu ramai orang di England mengenali Tuck kecuali mungkin sebahagian kawasan kecil di Halifax, England.

Namun lelaki berusia 34 tahun cukup dikenali oleh orang ramai di Asia sehinggakan ada yang meminta untuk berswafoto bersamanya walaupun tiada yang mengenalinya di England.

Chris Wilder

Chris Wilder merupakan jurulatih pertama Lee Tuck ketika bergelar pemain profesional. Agensi

Ini kerana Tuck merupakan wira buat Harimau Malaya yang mana dia beraksi dalam Liga Malaysia sejak 2017 dan mula mendapat panggilan skuad kebangsaan pada 2022.

Dengan 11 penampilan bersama Malaysia dan memperolehi gol debut ketika menentang Kemboja, pemain kelahiran Halifax itu sedang bersiap sedia untuk menentang pemain-pemain seperti Son Heung-min di Piala Asia pada Januari 2024.

Tuck ketika ditemubual oleh Daily Star Sport sempat berkongsi perjalannya menjadi seorang pemain bola sepak.

"Saya dari Halifax dan berada dalam akademi di sana (Halifax) sehingga saya berumur 17 atau 18 tahun, saya bermain secara profesional setahun kemudian di bawah kendalian Chris Wilder.

"Saya bermain dalam Liga Conference dan Liga Conference North sehingga saya berumur 21 dan ketika itu saya mewakili Guiseley FC dan Farsley Celtic," kata Tuck dalam satu wawancara eksklusif kepada Daily Star Sport.

Lee Tuck ketika mewakili Guiseley FC. Agensi

Liga Amatur Inggeris membuka banyak peluang kepada orang ramai untuk menjadi pemain bola sepak sambil mempunyai pekerjaan sampingan bagi memperoleh gaji harian, namun begitu Tuck mahukan lebih daripada situasinya ketika itu.

"Ketika saya berumur 21 tahun, peluang datang untuk saya bermain di Thailand melalui seorang rakan yang saya kenali.

"Saya berkata, jika saya ada peluang untuk pergi ke sana (Thailand) dan bermain secara profesional saya akan melakukannya. Ia kerana saya berkerja sebagai tukang kayu dan di sebelah malam saya bermain untuk Guiseley dalam Liga Conference North," katanya.

Begitulah semuanya bermula, Tuck mengingati pengalaman pertamanya di luar negara bersama Nakhon Pathom United sejak sedekad lalu.

"Saya fikir tidak ada ramai pemain asing di luar sana pada masa itu.

"Saya pergi, selesai bermain untuk Guiseley, berhenti kerja, jual kereta saya dan pergi untuk itu. Selepas kira-kira seminggu mereka menawarkan saya kontrak dan saya tidak pernah menoleh ke belakang," jelasnya.

Lee Tuck ketika mewakili Nakhon Ratchasima. Agensi

Tuck menghabiskan masa enam tahun di Thailand, menamatkan saingan sebagai penjaring gol terbanyak divisyen dua dan menarik minat kelab dari Liga Thai 1.

Di Bangladesh, Tuck tampil cemerlang termasuk kejayaan gelaran bersama Abahani Limited Dhaka dalam Liga Perdana Bangladesh dan Piala FA.

Kemudian hadir peluang untuk berpindah ke Malaysia dan mewakili beberapa pasukan seperti Negeri Sembilan, Terengganu dan Sri Pahang, akhirnya Tuck mendapat panggilan skuad kebangsaan.

"Anda layak menjadi warganegara selepas lima tahun. Saya bermain di dalam Liga Malaysia selama enam musim," jelasnya.

Tuck mendapat status kerakyatan Malaysia pada tahun lalu dan menjaringkan gol ketika menentang Kemboja pada Disember yang mana merupakan penampilan pertamanya bersama skuad Harimau Malaya.

Lee Tuck ketika melakukan debut bersama Harimau Malaya. Facebook/FAM

Pemain berusia 34 tahun ini hanya memerlukan 38 minit untuk mencatat gol 'debut' bersama Harimau Malaya.

Tuck berjaya mendapat tempat dalam skuad Malaysia bagi menghadapi kejohanan Piala AFF yang mana dia berjaya membantu Harimau Malaya mara ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada Thailand.

Ia adalah pengalaman berharga buat Tuck, yang jelas gembira ketika dia membincangkan gol antarabangsa pertamanya menentang Kemboja.

"Ia adalah pengalaman yang sukar dipercayai, terutamanya apabila stadium dipenuhi dengan 60,000 peminat. Saya tidak dapat tidur pada malam itu," luahnya.

Tuck terlepas panggilan skuad kebangsaan kali ini kerana mengalami kecederaan dalam perlawanan sebelumnya bersama Kedah Darul Aman FC.

"Jika saya imbas kembali ketika saya berumur 20 atau 21 tahun dan seseorang memberitahu saya 'anda mungkin boleh bermain di peringkat antarabangsa apabila anda berumur 34 tahun di hadapan 80,000 peminat,' saya akan berkata, mustahil," luahnya.

Walaupun Tuck mungkin tidak dikenali ketika berjalan di England, ia adalah cerita yang berbeza di tanah air keduannya iaitu Malaysia.

Lee Tuck NSFC

Lee Tuck hadir ke Liga Malaysia buat pertama kalinya bersama Negeri Sembilan. Agensi

Sebagai salah seorang wajah pasukan kebangsaan dan pemain tumpuan dalam Liga Malaysia selama beberapa tahun, dia adalah seorang bintang.

"Ke mana-mana sahaja saya keluar, semua orang mahu bergambar atau berbual dengan saya.

"Ia agak pelik, anda berhenti di lampu isyarat dan orang di dalam kereta sebelah anda tahu nama anda dan mula bertanya kepada anda tentang hujung minggu. Anda pergi ke lapangan terbang dan orang tahu siapa yang anda bertanya khabar saya dan ia sangat pelik."

"Jauh sekali dari rumah saya di England, apabila saya pulang ke rumah tiada siapa yang mengenali saya sebagai pemain bola sepak.

"Saya hanya salah seorang daripada lelaki dan salah seorang daripada rakan mereka. Saya sukakannya kerana ia baik untuk pulang ke rumah dan menjadi normal. Ia bagus apabila saya balik rumah," jelasnya.

Lee Tuck bersama keluarganya. Instagram

Tuck melalui pengembaraan yang luar biasa selama lebih sedekad.

Walaupun penyertaan pemain-pemain England ke liga bola sepak luar negara rendah, namun apabila bintang-bintang veteran mula-mula berpindah ke Thailand semakin ramai menyedari bahawa terdapat kehidupan selain daripada bola sepak di England.

Kini bersama keluarga kecilnya, termasuk seorang isteri dan dua anak perempuan, Tuck menantikan babak seterusnya dalam hidupnya, yang mana dia mungkin akan kembali ke Halifax. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram