Selepas 5 perlawanan, fans mula beri bayangan juara Liga Super musim ini


  • Podium
  • Khamis, 23 Mac 2023

Pergaduhan kecil berlaku ketika perlawanan Sabah bertemu JDT pada tahun lalu. — Facebook

SETAKAT lima perlawanan awal Liga Super 2023, Sabah FC merupakan satu-satunya pasukan dilihat konsisten dalam memberikan saingan kepada gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).

Dengan keputusan empat kemenangan dan satu seri yang direkodkan, Sang Badak kini berada di kedudukan kedua dengan mengutip 13 mata, hanya dua mata dipisahkan di belakang pendahulu liga iaitu skuad Harimau Selatan.

Dalam lima perlawanan, Sang Badak menunjukkan taktikal yang agresif dalam melakukan serangan dan hasilnya berjaya mencetak 15 gol.

Selain itu, bahagian pertahanan skuad Sabah FC juga agak memberangsangkan kerana hanya bolos sebanyak lima gol.

Ujian sebenar anak buah Datuk Ong Kim Swee kini tertumpu pada perlawanan menentang JDT yang berada di kedudukan teratas dalam Liga Super dengan kutipan 15 mata memegang rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan.

Perlawanan antara JDT dan Sabah FC. — Facebook/JDT

Malah penyokong-penyokong bola sepak menyifatkan perlawanan JDT dan Sabah bakal menunjukkan siapa akan menjadi juara Liga Super.

"JDT sangat sukar dicabar, jika perlawanan seterusnya JDT tewaskan Sabah FC, kira sebelah kaki JDT dah boleh menjuarai Liga Super.

"Penyokong sekali lagi hanya menonton persaingan merebut tempat kedua liga," kata Naz Amer.

"Lepas game JDT, Sabah baru tahu siapa saingan rebut Piala Liga Super," jelas Ikhwan Al-Hakim.

"Tunggu game JDT lawan Sabah, kalau JDT menang besar juga bermakna kejuaraan kali ke 10 dalam genggaman," ujar JR Junior.

Kali terakhir JDT bertemu Sabah dalam Liga Super 2022 menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya membenam Sang Badak dengan jaringan 0-3 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Oktober tahun lalu.

Sabah kini menduduki tangga kedua liga dah hanya dipisahkan dengan dua mata di belakang pendahulu liga, JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram