SKUAD bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara layak ke pentas akhir Piala Merlion 2023 selepas membenam skuad B-22 Kemboja, 4-2, dalam aksi separuh akhir pada Jumaat.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Jalan Besar di Singapura itu, skuad Harimau Muda kendalian E. Elavarasan tidak berdepan masalah mencetak gol pendahuluan menerusi jaringan Haqimi Azim Rosli pada minit ke-13.
Berbekalkan momentum sedia ada, corak permainan skuad negara tampak semakin kemas sebelum satu lagi jaringan dihasilkan pada minit ke-30 menerusi V. Ruventhiran.
Tersentak dengan penguasaan skuad negara, Kemboja kembali mencari rentak untuk merapatkan kedudukan menerusi jaringan Lim Pisoth selang enam minit kemudian.
Bersambung babak kedua, kealpaan barisan pertahanan negara sekali lagi membuka peluang buat skuad kendalian Ryu Hirose untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Sieng Chanthea pada minit ke-50.
Tidak goyah dengan keadaan itu, skuad Harimau Muda kembali mengatur gerakan yang kemudian berhasil diterjemahkan dengan gol ketiga menerusi Fergus Tierney pada minit ke-62.
Harimau Muda kendalian E. Elavarasan tidak berdepan masalah mencetak gol pendahuluan menerusi jaringan Haqimi Azim Rosli pada minit ke-13. — Facebook/FAM
Jaringan Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal pada minit ke-73 ternyata mematahkan usaha Kemboja untuk bangkit semula sehingga wisel penamat ditiupkan.
Persembahan yang ditampilkan pemain-pemain muda ini nyata mendapat pujian penyokong kerana berjaya beraksi baik dan meraih kemenangan walaupun berpuasa.
"Respect dengan pemain-pemain ini walaupun main panas petang tetap puasa tak nampak langsung minum air," kata Sya Kirin.
"Mungkin sebab main bulan puasa, nampak kurang tenaga. Apa-apa pun terbaik sebab boleh bermain bulan puasa," ujar Mad Hiry Lah.
"Macam bersahaja main masa aku tengok tadi gol kedua Kemboja mungkin sebab letih puasa, tengok pemain-pemain bagus ada pengalaman," jelas Mat Rahim.
Skuad Harimau Muda dijadual bertemu antara skuad B-22 Singapura atau B-22 Hong Kong di perlawanan akhir pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram