Walaupun sumbat gol, fans tahu punca Akhyar Rashid 'tak fit'


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mac 2023

Aksi sepakan gunting oleh Akhyar Rashid dalam perlawanan Malaysia menentang Turkmenistan. — Facebook/FAM

JARINGAN tunggal Akhyar Rashid membenarkan skuad kebangsaan memperoleh kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail, Johor pada Khamis.

Gol yang terhasil daripada pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu membuktikan kemenangan 3-1 skuad Harimau Malaya ke atas Turkmenistan pada aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, 8 Jun lalu bukan sekadar nasib, malah aksi yang dipamerkan skuad kendalian Kim Pan-gon kelihatan lebih berkualiti.

Gawang pasukan lawan bolos menerusi serangan yang dimulakan Endrick dos Santos yang merampas bola daripada pemain Turkmenistan kemudiannya dihantar kepada Corbin Ong sebelum mengumpan kepada Akhyar yang melepasi kawalan pertahanan dan melakukan sepakan 'placing' ke arah penjaga gol, Rasul Charyyev.

Kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan jaringan namun tiada yang berjaya menembusi gawang sekali gus menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Malaysia.

Detik-detik jaringan Akhyar Rashid. Facebook/FAM

Walaupun beraksi cemerlang dalam perlawanan itu, Akhyar terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan kesan daripada terjahan pihak lawan.

Penyokong turut memberikan pandangan Akhyar tidak begitu cergas kerana kurang minit permainan bersama pasukan yang diwakilinya.

"Nampak sangat Akhyar kejang, sebab dalam JDT dia kurang minit permainan itu sebab dia tak fit," kata Abu Hanifah Abu Bakar.

"Fit bukan stamina semata-mata, tetapi ketahanan tubuh badan pemain nak hadap bentesan, cabaran pemain lawan ketika perlawanan sebenar yang lebih tinggi berbanding latihan.

"Semalam (Khamis) nampak Akhyar kerap cramp dan selalu duduk bertinggung sebab cepat penat walaupun baru main first half," ujar Fahmi Mohamad.

"Mungkin sebab itu dalam JDT dia tak main full time, hanya coach yang tahu kualiti pemain," jelas Ipin Din.

Malaysia akan berdepan dengan Hong Kong pada satu lagi aksi perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram